MIDF Research semak turun harga sasar AirAsia X - Utusan Malaysia

MIDF Research semak turun harga sasar AirAsia X

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Mei – MIDF Research menyemak turun harga sasaran AirAsia X Bhd (AAX) kepada 22 sen daripada 27 sen sebelum ini, susulan pelarasan dalam prospek pendapatannya.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas AAX.

Ia juga menyemak semula unjuran pendapatan syarikat penerbangan itu bagi tahun kewangan 2019 dan 2020 masing-masing kepada RM68.7 juta dan RM74.4 juta, memandangkan kos pembiayaan lebih tinggi susulan penerimagunaan 16 Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia dan peningkatan perbelanjaan penyenggaraan dan baik pulih pesawat lama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami mengekalkan pandangan kami terhadap keupayaan AAX untuk merekodkan keuntungan pada tahun kewangan 2019. Ini mungkin boleh dicapai menerusi beberapa langkah pengurangan kos serta penggunaan kapasiti lebih baik.

“Kami berpendapat, pertumbuhan penumpang di Malaysia tidak akan terjajas walaupun levi pelepasan ke luar negara dijangka berkuat kuasa pada Ogos 2019,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

MIDF Research berkata wujud juga kemungkinan pengguna akan beralih daripada syarikat penerbangan khidmat penuh kepada penerbangan kos rendah seperti AAX terutama sekiranya destinasi yang sama ditawarkan.

Melangkah maju, ia berpendapat penurunan tempat duduk sedia ada bagi setiap kilometer (ASK) dan perolehan penumpang bagi setiap kilometer (RPK) adalah hanya bagi jangka pendek, memandangkan penamatan laluan bukan teras akan membolehkan AAX menyediakan semula kapasitinya bagi pasaran utama di China, Jepun, India dan Korea Selatan.

“Laluan utama kurang diberi tumpuan ialah Taipei-Osaka yang mencatatkan faktor muatan yang kukuh sejak mula beroperasi pada Januari tahun ini serta Kuala Lumpur-Fukuoka, yang akan meningkatkan kedudukan jenama ini sebelum penganjuran temasya Olimpik 2020 Tokyo.

“Tanpa sebarang rancangan bagi penambahan pesawat AirAsia X Malaysia, AAX akan dapat memaksimumkan penggunaan pesawatnya apabila laluan baharu dalam pasaran berkenaan dilancarkan pada separuh kedua tahun kewangan 2019,” menurutnya.

Setakat 12.30 tengah hari, saham AAX meningkat setengah sen kepada 23 sen dengan 20.18 juta didagangkan.

Semalam, syarikat penerbangan itu mengumumkan keuntungan bersih lebih tinggi iaitu RM43.33 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2019 berbanding RM41.50 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama 2018.

Bagaimanapun, perolehan susut kepada RM1.17 bilion daripada RM1.27 bilion bagi tempoh yang sama, disebabkan penurunan jumlah penumpang sebanyak lima peratus tahun ke tahun kepada 1.51 juta daripada 1.58 juta. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini