Gedegang kecundang - Utusan Malaysia

Gedegang kecundang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH 17 Mei – Polis menumpaskan Kumpulan Gedegang yang aktif merompak mesin menjual air layan diri di sekitar Lembah Klang dengan tertangkapnya empat lelaki tempatan, minggu lalu.

Kesemua suspek berusia lingkungan 23 hingga 29 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di Cheras, Rawang dan Sungai Buloh dalam operasi bermula 30 April hingga 8 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, kumpulan itu giat menjalankan aktiviti jenayah tersebut sejak November tahun lalu dengan menyasarkan mesin yang diletakkan di dobi layan diri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, kumpulan itu menggunakan peralatan khas termasuk gerudi dan mengangkut mesin tersebut menggunakan lori yang disewa.

“Mesin berkenaan kemudian akan dijual menerusi Facebook kepada pelanggan yang menetap di Selangor, Melaka dan Perak dengan harga antara RM3,000 hingga RM4,000 mengikut saiz dan jenis.

“Selain itu, sindiket akan mengumpil kotak penyimpan duit dan menjualnya secara berasingan pada harga RM700 sehingga RM2,000 seunit,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Sungai Buloh, di sini hari ini.

Ujar Shafa’aton, hasil semakan mendapati dua daripada suspek merupakan bekas pekerja yang menjalankan servis perkhidmatan mesin air dan seorang lagi suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkait dadah.

“Dengan penahanan suspek, kita percaya telah menyelesaikan kira-kira 10 kes berkaitan curi mesin air layan diri selain merampas semula enam mesin menjual air layan diri yang disorokkan di beberapa lokasi.

“Kesemua suspek masih dalam tempoh reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini