LONDON 17 Mei – Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward akan terus memberikan sokongan kepada pengurus kelab berkenaan, Ole Gunnar Solskjaer ketika jendela perpindahan nanti.
Ketika ini Solskjaer telah memberikan bayangan awal untuk melakukan rombakan besar di Old Trafford selepas tidak mendapatkan pemain pada Januari lalu.
Kata Woodward, Solskjaer, kejayaan komersial berterusan yang diraih kelab itu membolehkan United memberikan peruntukan dana tanpa mengira aspek penjualan pemain.
“Kekuatan perniagaan kami bermakna kami mempunyai sumber kewangan untuk terus memberikan sokongan kepada pengurus dan mencipta kejayaan di padang.
“Ini kekal sebagai matlamat nombor satu kami.
“Biarpun prestasi kami amat mengecewakan dalam beberapa minggu lalu, kami gembira dapat menjamin pelantikan Ole sebagai pengurus dengan kontrak tiga tahun.
“Musim ini tidak semudah disangka sebagaimana yang kami harapkan apabila menamatkan saingan di tempat keenam,” katanya.
United mengakhiri kempen musim ini dengan prestasi yang kurang memuaskan apabila gagal meraih sebarang kemenangan dalam enam perlawanan terakhir selain tumbang 0-2 kepada Cardiff City di tempat sendiri sekali gus menamatkan Liga Perdana Inggeris di tangga keenam. – AGENSI









