KUALA KANGSAR – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes pukul isteri dan anak perempuan mereka dalam kejadian di Taman Sri Emas di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, penganggur berusia 36 tahun itu ditahan semalam selepas polis bertindak atas laporan yang dibuat isterinya pada hari sama.
“Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6 petang itu, kejadian berpunca apabila suspek mengamuk dan memarahi anak perempuannya yang berusia 13 tahun dengan menarik rambut mangsa.
“Isteri suspek cuba menghalang namun dia terus memukul anak sulung mereka dan isterinya juga telah ditampar di pipi kanan selain rambutnya direntap dan kepala dihentak ke kerusi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Razali, suspek yang dimarahi isterinya kerana memukul anak mereka itu kemudiannya bertindak memulas tangan kiri wanita itu ke belakang dan menumbuk perut serta menghentak kepalanya ke dinding.
“Mangsa yang bekerja sebagai pembantu perawatan di Hospital Kuala Kangsar itu turut ditarik ke lantai sebelum dicekik di leher menyebabkan dia sukar bernafas.
“Anak mereka menjerit meminta suspek melepaskan mangsa. Akibat kejadian tersebut mangsa mengalami kecederaan dan anaknya pula trauma,” katanya.
Katanya, siasatan mendapati pasangan suami isteri tersebut mempunyai empat anak termasuk seorang anak angkat itu kini dalam proses penceraian di Mahkamah Syariah Kuala Kangsar.
“Isterinya juga mendakwa tidak tahan dengan kelakuan dan sikap panas baran lelaki itu yang sering memukulnya dan dua anak mereka yang berusia lima dan 13 tahun.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 323/326a Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE









