LONDON – Seorang wanita menghabiskan wang sebanyak £3,000 (RM16,080) untuk membeli sejumlah barangan dalam talian di eBay semasa dia masih dalam keadaan tidur baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail.
Kelly Knipes, 37, dari Essex, England disahkan menghidap parasomnia iaitu suatu penyakit yang menyebabkan seseorang melakukan pelbagai aktiviti pada waktu malam dalam keadaan tidak sedarkan diri, termasuk membeli-belah.
Ibu kepada tiga anak itu membeli barangan seperti rumah permainan Wendy, set sukan bola keranjang, gula-gula Haribo, balang biskut, cat, bekas simpanan garam dan lada hitam, dua buah peti sejuk, meja dan beberapa naskah buku.
Knipes disahkan menghidap penyakit parasomnia kira-kira tujuh tahun lalu selepas dia melahirkan anak sulungnya.
“Saya tidak perlu meletakkan maklumat kad kredit ketika melakukan pembelian dalam talian kerana ia disimpan dalam telefon saya. Semuanya dilakukan dengan sentuhan,” katanya.
Suaminya, Jamie, 40, cuba menyorok telefon bimbit selain mengunci semua pintu di rumah mereka untuk menghalang perbuatan pembelian dalam talian itu, namun dia gagal. – Agensi











