PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia untuk berbincang dengan kerajaan Pakatan Harapan berhubung isu penggunaan aset-aset kerajaan dan larangan anggota pentadbiran untuk berkempen semasa waktu pejabat seperti yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya juga bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan pihak lain untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas untuk menambahbaik proses perjalanan pilihan raya.
Jelasnya, tindakan itu selaras dengan proses kerja libat urus dan keterbukaan SPR untuk mendapatkan input serta pandangan daripada semua pihak terutamanya pihak yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya.
“Fokus utama SPR adalah untuk membentuk satu proses pilihan raya yang adil kepada semua pihak dan ia berjalan dengan telus dan berintegriti.
“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, SPR telah mengambil pelbagai tindakan untuk menambahbaik proses-proses pilihan raya dan sedang melihat secara menyeluruh reformasi yang boleh dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media tempatan kelmarin melaporkan, Mahathir akan berbincang dengan SPR berkenaan sekatan terhadap menteri kabinet untuk berkempen dalam pilihan raya ketika waktu bekerja
Sekatan tersebut seolah-olah memberi peluang kepada parti lawan yang tidak mempunyai kerja untuk berkempen 24 jam, sedangkan menteri-menteri tidak boleh berkempen.
Sementara itu, menurut Azhar Azizan, menjadi matlamat SPR agar semua penambahbaikan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan dapat menjamin pilihan raya yang telus, bersih serta adil.
Ujarnya, dalam konteks itu, penambahbaikan terhadap proses penjalanan pilihan raya yang tidak melibatkan pindaan undang-undang telah dilaksanakan manakala yang melibatkan pindaan undang-undang pula perlu kepada penelitian dan kajian lanjut oleh SPR.
“Bagi melaksanakan penambahbaikan tersebut, SPR telah melakukan sesi libat urus dengan pelbagai pihak seperti parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi sosial, agensi-agensi kerajaan dan juga organisasi-organisasi antarabangsa,” katanya. – K! ONLINE











