RANTAU PANJANG 16 Mei – Pasukan Gerakan Am (PGA) sentiasa berada dalam keadaan siap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan termasuklah ancaman tonto ketika melaksanakan tugas Op Wawasan di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Pengkalan Kubor hingga Rantau Panjang.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Khaled Che Lah berkata, walaupun penuh pernah berdepan dengan ancaman itu namun pihaknya sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Beliau berkata, kesemua anggotanya sudah diberikan latihan secukupnya untuk berdepan sebarang ancaman sepanjang menjalankan tugas.
“Kita perlu sentiasa berada dalam keadaan berwaspada sepanjang bertugas.
“Saya turut ingatkan anggota supaya ketika melaksanakan operasi supaya mengikut lunas-lunas peraturan yang telah ditetapkan termasuklah berdepan tonto,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas Op Wawasan antara Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa dengan Batalion 9 Kuala Terengganu di Markas Taktikal PGA di Lubok Stol, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintenden Ramly Poncho; Pegawai Pemerintah Batalion 8 Pengkalan Chepa Superintenden Muhammad Shamsuddin dan Pegawai Pemerintah Batalion 7 Kuantan, Superitanden Azhari Nusi.
Khaled memberitahu, sekiranya berdepan ancaman ketika mengendalikan kes tonto anggota PGA boleh mempertahankan diri.
“Ini kerana kebanyakkan kes tonton sebelum ini membabitkan soal keselamatan anggota yang bertugas. Mereka sanggup mengancam seseiapa sahaja demi menjalankan aktiviti haram ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











