PULAU PINANG 16 Mei – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan supaya menghentikan iklan bagi produk makanan yang mengandungi terlalu banyak garam seperti mi segera.
Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, usaha itu bagi membendung peningkatan kes-kes hipertensi dalam kalangan penduduk negara ini serta selari dengan sambutan Hari Hipertensi Sedunia esok.
Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu mewajibkan pengeluar makanan melabel kandungan natrium pada produk mereka supaya pengguna dapat mengawal kadar pengambilan garam berlebihan yang menyumbang kepada hipertensi.
Berita berkaitan:
Menurut beliau, ketika ini, kajian mendapati rakyat negara ini mengambil kira-kira 8.7 gram garam sehari iaitu 1.7 kali lebih tinggi daripada lima gram garam sehari yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Garam makan (natrium klorida) menjadi penyumbang utama natrium dalam makanan penduduk negara ini yang mana satu sudu kecil atau lima gram garam memberikan 2,000 mg natrium.
“Saintis percaya natrium menaikkan tekanan darah kerana natrium menarik air dan menyebabkan retensi (bendungan) cecair.
“Cecair tambahan yang terbendung itu mengembangkan isipadu darah di dalam saluran darah yang kemudian menekan dinding pembuluh darah menyebabkan tekanan darah tinggi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, S. M. Mohamed turut menggesa kerajaan melancarkan kempen besar-besaran untuk menggalakkan pengguna melakukan banyak aktiviti riadah untuk mengelak obesiti, yang boleh membawa kepada hipertensi.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan pengguna supaya tidak memakan makanan yang diproses dan mengurangkan penggunaan garam atau perisa ketika memasak sebaliknya digantikan herba dan penambah asli makanan.
“Pengguna juga perlu memilih makanan yang kurang bergaram dan sos ketika membeli makanan sama ada untuk dibawa pulang atau ketika makan di luar.
“Selain itu, mereka juga perlu membaca panel maklumat nutrisi (NIP) untuk mengetahui kandungan natrium dalam makanan yang hendak dibeli,” katanya. – UTUSAN ONLINE











