SEPANG16 Mei – Malaysia menyimpan hasrat untuk mencuri mata daripada China di kejohanan badminton Piala Sudirman yang akan berlangsung di Nanning, bermula Ahad ini.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia, Wong Choong Hann berkata, barisan pemain negara sudah bersedia untuk berdepan sesiapa sahaja terutama selepas menjalani latihan intensif sejak beberapa minggu lalu.
Katanya, berdepan tuan rumah yang juga pilihan utama kejohanan dengan rekod 10 kejuaraan sebelum ini adalah tugasan mencabar namun dia percaya, pemain negara masih mampu melakar kejutan.
“Kalau ikutkan, kita ketinggalan jauh dalam semua acara kepada China tetapi saya masih mengharapkan kejutan dan mungkin ia akan hadir daripada beregu lelaki,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini hari ini.
Malaysia berada Kumpulan 1D dan akan bertemu China pada perlawanan pertama sebelum bertemu India bagi menentukan pasukan yang layak ke saingan seterusnya.-UTUSAN ONLINE











