Pegawai tentera curi beg jenama mewah untuk bayar hutang - Utusan Malaysia

Pegawai tentera curi beg jenama mewah untuk bayar hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Mei – Seorang pegawai tentera berpangkat Kapten ditahan selepas memecah masuk sebuah premis menjual beg tangan berjenama di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Jalan Imbi, Bukit Bintang, di sini khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner, Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, pada mulanya, pihaknya telah menerima satu laporan daripada pemilik premis perniagaan berkenaan yang berusia 45 tahun setelah menyedari premisnya dipecah masuk kira-kira pukul 11 pagi pada 3 Mei lalu.

“Mangsa memaklumkan puluhan beg tangan berjenama yang dianggarkan bernilai RM250,000 telah dilarikan penjenayah.

Memuatkan artikel berkaitan…


“Hasil maklumat daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuat serbuan di pejabat Kem Tentera Sungai Besi pukul 4.30 petang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Fahmi memberitahu, pemeriksaan pada sebuah kereta jenis Kia Spectra milik suspek berusia 30-an itu kemudiannya menemukan 70 beg tangan pelbagai jenama selain beberapa peralatan digunakan untuk pecah kedai.

“Lelaki terbabit dipercayai aktif melakukan kegiatan itu kira-kira setahun lalu dengan menyasarkan premis menjual beg tangan berjenama di sekitar Lembah Klang.

“Soal siasat dilakukan terhadap suspek mendapati dia akan menjual barangan curi itu kepada kedai yang lain mengikut harga ditetapkan premis berkenaan,” jelasnya.


Tambah Mohd. Fahmi, hasil siasatan lanjut, suspek mengaku melakukan kegiatan itu kerana berdepan dengan masalah hutang akibat tabiatnya yang suka berjudi.


“Kertas siasatan berhubung kes sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah kedai. 


“Suspek kini diserahkan kepada IPD Cheras untuk siasatan lanjut berhubung kejadian pecah rumah di daerah berkenaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan lelaki terbabit,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini