KUALA LUMPUR 15 Mei – PKNS Real Estate Sdn. Bhd (PREC) bakal menyumbang kepada 354 orang anak yatim dan fakir miskin di enam buah rumah kebajikan terpilih bersempena dengan program Kembara Ramadan PREC 2019, esok.
Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab. Ghani berkata, program itu adalah sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat untuk memberi semula kepada masyarakat melalui peruntukan wang zakat pada tahun ini.
“PREC sentiasa komited dalam menyalurkan sumbangan kepada rumah dan badan kebajikan setelah menilai dan melakukan lawatan berdasarkan khidmat nasihat daripada Lembaga Zakat Selangor”, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, antara rumah yang bakal dikunjungi adalah Rumah Amal Limpahan Kasih, Maahad Tahfiz Al Ulum Wal Ghazaly, Pusat Jagaan Nur Sakinah, Rumah Kebajikan Al-Firdaus, Pusat Jagaan Budi Bistari dan Pertubuhan Kebajikan Baitul Islah.
“Kakitangan PREC termasuk anak syarikatnya, Park Here Sdn. Bhd. (PHSB) akan berpeluang mengeratkan ukhuwah bersama anak-anak tersebut dengan aktiviti yang telah dirangka seperti sesi bersama maskot, ahli silap mata, badut, kuiz dan origami kreatif.
“Sumbangan akan turut diberikan dalam bentuk wang tunai sebagai duit raya kepada anak-anak dan guru, barangan elektrik seperti mesin basuh, peti ais, tilam, cadar, barang dapur, pakaian dan dapur masak,” katanya.
Beliau berkata, majlis pelepasan peserta akan dilaksanakan oleh Ketua Ahli Jawatankuasa Kerja PREC merangkap Pengurus Kanan Teknologi Maklumat PKNS, Saharom Mohni di SACC Mall Shah Alam. – UTUSAN ONLINE











