KUALA LUMPUR 15 Mei – Kerana hutang, seorang lelaki cedera ditikam selepas diserang sekumpulan lelaki di rumahnya di Lebuh Raya Pinggiran, Batu Caves Kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa dikatakan berada berseorangan di rumahnya sebelum didatangi enam lelaki yang dikenali.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, mangsa dikatakan telah bergelut dengan kesemua suspek sebelum dia ditikam oleh salah seorang daripada kumpulan itu.
Ujarnya, berikutan itu, beberapa barangan mangsa seperti satu rantai leher, telefon bimbit (1) dan kunci kereta turut dilarikan oleh kesemua suspek.
“Bertindak atas maklumat, satu operasi telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak bermula kira-kira pukul 8 sehingga 11 pagi ini dan menahan enam lelaki yang terlibat di kawasan Raub, Pahang.
“Hasil tangkapan itu, kita berjaya menemukan semula kesemua barangan yang disamun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Samsor, kesemua suspek berusia 16 hingga 22 tahun itu akan direman di Mahkamah Majistret Selayang dekat sini esok bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
“Siasatan awal mendapati, motif kejadian adalah di sebabkan masalah hutang antara mangsa dan salah seorang suspek yang terlibat.
“Sehubungan itu, kes ini dianggap selesai memandangkan kesemua suspek terlibat telah ditahan,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











