MAKAN sepuasnya, namun dalam masa sama sifat tanggungjawab mengajak orang ramai berbakti kepada golongan kurang bernasib baik tetap diutamakan Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Hotel bertaraf lima bintang itu bukan sahaja menyediakan lebih 120 sajian berbuka puasa menerusi tema Sajian Tradisi Zaman ke Zaman, malah pengunjung juga diberi peluang beramal dengan menyumbang kepada golongan asnaf dan anak yatim.
Ketua Cef, Mohd. Saad Othman berkata, daripada jumlah pembayaran yang dibuat pelanggan, pihak pengurusan hotel akan mengambil RM1 bagi disumbangkan kepada golongan tidak bernasib baik di sekitar Kuala Lumpur.
Katanya, program amal tersebut telah dilaksanakan beberapa tahun sebelum ini dan mendapat sambutan baik pelanggan yang turut memuji usaha baik tersebut dalam membantu golongan asnaf dan kumpulan anak yatim.

“Kami di Hotel Seri Pacific turut memperuntukkan satu malam khas pada bulan Ramadan untuk meraikan anak yatim. Pada tahun lalu seramai 300 orang anak yatim diraikan dan menikmati juadah istimewa yang disajikan di hotel ini.
“Insya- Allah pada tahun ini, majlis seumpama ini turut diadakan bagi meraikan anak-anak istimewa ini sekali gus memberi peluang kepada mereka merasai hidangan hotel sempena Ramadan,” katanya kepada Mega Rona.
Harga berbuka puasa secara bufet di Hotel Seri Pacific adalah RM120 bagi orang dewasa manakala kanak-kanak RM60.
Mengulas lanjut Mohd. Saad berkata, pihak pengurusan Hotel Seri Pacific turut menghulurkan bantuan kepada ibu tunggal bagi menjana pendapatan dengan menyediakan ruang jualan secara percuma di hotel tersebut.
Menurutnya, tanpa sebarang caj dan komisen dikenakan, kumpulan ibu tunggal boleh meletakkan jualan kuih raya di hotel tersebut sekali gus membuka peluang perniagaan kepada golongan berkenaan memperoleh duit raya bagi digunakan pada hari lebaran.
Katanya, pelbagai jenis kuih raya tradisional ditawarkan kepada orang ramai dan harga kuih raya buatan ibu tunggal itu adalah antara RM18 hingga RM28 satu balang.
“Selain menyediakan pelbagai hidangan istimewa kepada pelanggan untuk berbuka puasa, kita juga mengajak orang ramai untuk beramal dan membantu golongan yang tidak berkemampuan meraih pendapatan bagi digunakan pada hari lebaran nanti,” katanya.
Tambahnya, satu program amal turut digerakkan pihak pengurusan Hotel Seri Pacific baru-baru ini dengan memasak bubur lambuk secara gotong royong di kawasan hotel dan kemudiannya disedekahkan kepada orang ramai yang berada di kawasan sekitar.
Mengulas konsep berbuka puasa dengan sajian kampung yang ditawarkan pihak hotel kali ini, Mohd. Saad berkata, hidangan kambing golek bersama kuah ramuan istimewa yang diadun oleh kumpulan cef hotel itu terus mendapat perhatian utama selain sup gear box dan nasi beriani gam resipi masyarakat negeri Johor atau lebih tepat ‘gaya Muar’.
Jelasnya, bagi hidangan kambing golek istimewa itu, pihaknya menyediakan tiga atau empat ekor kambing sehari bagi pengunjung yang dianggarkan sekitar 300 orang.
“Bayangkan bagaimana permintaan baik orang ramai terhadap hidangan kambing golek istimewa ini yang disediakan bersama sos lada hitam dan sos cendawan.
“Adunan membuat sos istimewa ini adalah garapan cef Hotel Seri Pacific sendiri dan mengambil masa antara dua hingga tiga hari untuk disiapkan agar isi kambing menjadi lembut dan berjus,” katanya.
Selain itu katanya, hidangan makanan laut secara shell in dengan sos istimewa iaitu pedas dan berkicap turut menjadi sandaran terbaik kepada pelanggan untuk menjamu selera.
“Ketam dan udang untuk hidangan shell in adalah bersaiz besar sekali gus memberi kepuasan maksimum kepada pelanggan menikmati makanan laut segar.
“Malah, buat pertama kali kami menyediakan murtabak maggi berintikan isi ayam kepada pengunjung bufet Ramadan tahun ini,” katanya.
Tambahnya, bagi penggemar hidangan masakan masyarakat India dalam daun pisang, sebuah gerai yang menyediakan hidangan itu ditawarkan kepada pelanggan termasuk kari kepala ikan dan menu kambing varuval yang seakan masakan rendang masyarakat Melayu.
Beliau berkata, hidangan seperti pasta, sushi perisa serunding dan sambal ikan bilis, pizza, char kuew teow, masakan Jepun iaitu teppan dan lima jenis masakan berkuah seperti mi sup, laksa, mi rebus, mi kari serta mi udang ditawarkan kepada pengunjung bersama 15 buah gerai makanan lain.
“Antara kemudahan lain yang disediakan kepada orang ramai di hotel ini adalah ruang solat selesa bagi menunaikan solat sunat tarawih,” katanya mengakhiri perbualan.











