KUALA LUMPUR 14 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melahirkan kebimbangan berhubung aduan penipuan perniagaan dalam talian yang didapati meningkat.
Kini, aduan penipuan tersebut berada di kedudukan kedua yang perlu ditangani kerajaan, dibelakang aduan kenaikan harga barang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peningkatan penipuan itu disebabkan perubahan aliran perniagaan di negara ini yang berubah daripada perniagaan konvensional kepada dalam talian.
“Sekarang, ia (penipuan dalam talian) nombor dua. Aduan harga barang ini masih jadi nombor satu. Nombor tiga adalah aduan iklan yang mengelirukan.
“Penipuan perniagaan dalam talian ini akan didengari di peringkat tribunal tuntutan pengguna. Apabila dimaklumkan ada kes penipuan dalam talian, ia akan didengari dan kes turut bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan produk PNMB Payfor, satu cabang baharu perniagaan Percetakan Nasional Malaysia Bhd. (PNMB).
PNMB Payfo merupakan produk bagi membangunkan penyelesaian inovatif untuk menangani permasalahan pengguna dan perniagaan.
Yang turut hadir Pengerusi PNMB, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang.
Tambah Saifuddin, kementerian di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia mewujudkan BizTrust yang akan mendaftarkan setiap syarikat yang menjalankan perniagaan dalam talian.
Sehubungan itu, katanya, pengguna boleh memeriksa sama ada traksaksi yang dijalankan mereka berpandukan status perniagaan yang mempunyai jaminan BizTrust berkenaan.
Mengenai denda yang dikenakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan penipuan perniagaan dalam talian, beliau memberitahu, pihaknya bersetuju bahawa kadar siling baharu denda tidak lebih RM50,000.
“Saya syor tribunal siling denda tak lebih RM25,0000. Namun, kita bersetuju untuk mengangkat nilai denda berkenaan kepada RM50,000.
“Itu satu cara bagi yang ada niat menipu, ia akan memberi kegerunan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











