PUTRAJAYA 14 Mei – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) masih menunggu keputusan daripada kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan kuota tambahan sebanyak 10,000 jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat.
Beliau berkata, Tabung Haji telah menulis surat permohonan rasmi berkenaan hal itu kepada kerajaan Arab Saudi malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof juga telah pergi ke Arab Saudi untuk membincangkan perkara berkenaan.
“Kita doakan supaya kita dapat 10,000 kuota tambahan itu kerana saya difahamkan sehingga kini Tabung Haji telah menerima sehingga 113,000 rayuan tetapi kita tetap akan berusaha lagi dengan pihak Arab Saudi,” katanya pada sesi taklimat isu Tabung Haji di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini hari ini.
Kuota rasmi yang diberikan Arab Saudi kepada Malaysia bagi tahun ini ialah sebanyak 30,200 orang.
Pada masa yang sama, Zukri berkata, sejumlah 91,000 akaun baharu telah dibuka pada suku pertama tahun ini dan sebanyak RM4.3 bilion simpanan baharu dicatatkan. – BERNAMA











