Polis tahan 4 pengedar dadah Geng Ah Chin - Utusan Malaysia

Polis tahan 4 pengedar dadah Geng Ah Chin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita warganegara tempatan yang juga ahli Geng Ah Chin kerana terlibat dalam sindiket pengedaran dadah melalui tiga serbuan berasingan pada 9 dan 10 Mei lalu di sekitar ibu negara. 

Kesemua serbuan tersebut dijalankan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan pertama pada 9 Mei lalu, seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan di Jalan Persiaran Segambut Utara di sini kira-kira pukul 9 malam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan dalam keretanya menjumpai dadah jenis Ketamin seberat 75.02 gram(g) dan suspek kemudiannya menunjukkan arah ke sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan Ipoh, Batu 5 di sini.

“Di sana, polis merampas beberapa jenis  dadah antaranya Ketamin (5.4 kilogram) dan methamphetamine bernilai RM370,750 yang dipercayai boleh membekalkan kepada kira-kira 5,550 penagih dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut dirampas sejumlah wang tunai dan sebuah kereta jenis Proton Saga FL yang bernilai lebih RM15,000. Suspek direman selama seminggu sehingga Khamis ini.

Mazlan menambah, bertindak atas maklumat suspek pertama, pada 10 Mei lalu kira-kira pukul 1 pagi, polis menahan satu pasangan kekasih iaitu lelaki berusia 39 tahun yang juga dalang geng tersebut serta wanita berusia 50 tahun di sebuah kondominium di Jalan Ipoh di sini.

“Polis turut merampas dadah jenis Ketamin, pil ekstasi dan erimin 5 serta cecair acetone  selain sepucuk pistol bersama 15 butir peluru.

“Turut disita adalah tiga buah kereta mewah iaitu dua daripadanya jenis Mercedes Benz, sebuah Nissan Almera serta 60 keping wang tunai China (RM3,600),” ujarnya.

Hasil ujian air kencing mendapati keduanya positif dadah jenis AMP dan direman selama enam hari sehingga esok. Mereka sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan mengedar di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, suspek terakhir berusia 53 tahun ditahan pada hari yang sama di sebuah kediaman di Jalan Sungai Besi di sini.

“Dadah methamphetamine seberat 1.03 kg, wang tunai bernilai RM94,700 dan sebuah kereta jenis Toyota Camry turut dirampas.

“Suspek juga positif dadah jenis sama dan direman sehingga esok,” katanya.

Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jumlah kesemua dadah yang dirampas bernilai RM443,240. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini