Laporan Bloomberg: Pelabur masih yakin dengan Malaysia - Utusan Malaysia

Laporan Bloomberg: Pelabur masih yakin dengan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 14 Mei – Kerajaan yakin jumlah pelaburan luar ke negara ini tidak akan terjejas biarpun berdepan cabaran dengan laporan berita yang menggambarkan keadaan negatif terhadap ekonomi Malaysia, hampir setiap hari.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, masih ramai pelabur asing melakukan urusan perdagangan di negara ini di samping sebahagian lagi menunjukkan minat untuk membuat pelaburan.

Menurutnya, kerajaan tidak akan bertindak terhadap laporan-laporan negatif sedemikian, sebaliknya akan menunjukkan keupayaan kepada pihak luar seperti yang sering dinasihatkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya tetapi kita berdepan dengan berita-berita negatif (tentang laporan ekonomi) setiap hari, kemungkinan langkah ini adalah agenda sesetengah pihak yang tidak mahu menjadikan Malaysia sebagai destinasi (pelaburan).

“Tetapi, dengan kecekapan Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin di peringkat negeri, para pelabur semakin yakin untuk datang dan membuat pelaburan di negara ini,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Wisma Darulaman di sini, hari ini.

Darell mengulas laporan berita Bloomberg US yang melaporkan pelabur sudah hilang sabar dengan Malaysia dan ramai didakwa telah menarik diri atau tidak lagi mahu melabur dalam pasaran negara ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, beliau memaklumkan, Kedah mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM37.73 bilion pada tahun lalu dengan nilai eksport bernilai RM20.16 bilion.

Ujar Darell, eksport peralatan mesin dan pengangkutan, produk makanan serta pembuatan barangan telah menyumbang hampir 88 peratus daripada nilai eksport tersebut.

Katanya lagi, jumlah pelaburan yang diluluskan bagi sektor pembuatan di negeri itu pada tempoh sama pula merekodkan sebanyak RM2.4 bilion.

“Pelaburan itu melibatkan 41 projek dalam industri produk mineral bukan logam, kimia dan produk kimia serta barangan berasaskan plastik.

“Manakala, sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 1,196 projek pelaburan yang bernilai RM52.55 bilion telah berjaya dilaksanakan yang kebanyakkannya melibatkan industri elektronik dan produk elektronik, peralatan pengangkutan, produk mineral, bukan logam dan produk kimia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini