SUNGAI PETANI 14 Mei – Kira-kira 30 orang nelayan pukat hanyut di kawasan Kuala Sala, Sungai Limau, Sungai Udang dan Kuala Sungai Yan dekat sini, membantah tindakan lebih 20 pengusaha bot yang menangkap siput retak seribu pada waktu malam.
Nelayan, Messeri Ibrahim, 50, dari Kampung Bahagia Kota Sarang Semut memberitahu, pengusaha bot berkenaan sepatutnya menangkap siput tersebut antara pukul 7 pagi hingga 7 petang sahaja.
Namun katanya, perbuatan mereka yang menjalankan aktiviti tersebut sehingga lewat malam telah mengakibatkan pertembungan dengan bot pukat hanyut milik nelayan kecil.
“Pada malam kelmarin, sebuah bot pengusaha siput retak seribu telah melanggar pukat hanyut milik saya di kawasan Kuala Sungai Daun sehingga mengakibatkan kerosakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menurut Meseri, berikutan kejadian itu, dia telah membuat laporan mengenai kejadian berkenaan di Balai Polis Daerah Yan, kira-kira pukul 11.30 pagi pada keesokannya.
“Mata pencarian saya dengan menangkap ikan temenung, senangin dan gelama kini terjejas disebabkan pukat hanyut saya yang rosak.
“Saya berharap agar agensi kerajaan terlibat membuat pemantauan dan menangani isu ini dengan segera bagi membela nasib nelayan kecil seperti kami,” katanya lagi.
Rakan Messeri, Zambri Daud, 39, dari Kuala Kangkong pula memaklumkan, pelbagai aduan telah pun dibuat kepada agensi tertentu berhubung perkara sama tetapi masih tiada tindakan. – UTUSAN ONLINE











