JOHOR BAHRU 14 Mei – Dua pekerja di Restoran Open Table, Taman Setia Tropika, Kempas di sini nyaris maut apabila stor di premis tersebut terbakar kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Kedua-duanya yang sedang tidur dalam bangunan tiga tingkat itu dikejutkan oleh orang awam sebelum mereka berjaya menyelamatkan diri.
Tiada kemalangan jiwa atau kecedaraan dalam kebakaran di restoran itu yang popular dengan masakan asam pedas, makanan barat dan ikan bakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 8.13 pagi sebelum 11 anggota, satu jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran berjaya dikawal dan operasi tamat pukul 9.17 pagi. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya yang juga Ketua Operasi dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











