KUANTAN 14 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mematahkan cubaan menceroboh kedaulatan perairan negara oleh dua bot nelayan asing yang dikesan di Timur Laut Pulau Redang dekat sini.
Pegawai Geledah KD Pahang, Leftenan Abdul Hannan Abdul Rafar berkata, dua bot nelayan asing itu dipercayai sedang melakukan aktiviti menarik pukat ganding ketika dikesan.
“Menyedari kehadiran KD Pahang, dua bot itu dilihat cuba melarikan ke arah sempadan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) Malaysia. Melalui pemerhatian dan rakaman video oleh kru helikopter Fennec, awak-awak bot nelayan asing itu dilihat berusaha memotong tali pukat bagi memudahkan mereka melarikan diri.
“Setelah hampir 30 minit dikejar, kedua-dua bot itu berjaya ditahan oleh KD Pahang menggunakan Tim Pasukan Khas Laut (Paskal) yang diturunkan ke bot-bot nelayan tersebut melalui kaedah fast roping,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hannan berkata, seramai 18 orang awak- awak yang dipercayai warganegara Vietnam ditahan bersama bot-bot tersebut.
“Kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. Hasil pemeriksaan, bot nelayan asing tersebut didapati telah menceroboh perairan negara dan menangkap ikan tanpa kebenaran.
“Kedua-dua bot dan semua nelayan warganegara asing itu akan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia ) untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











