KUALA LUMPUR 13 Mei – Kes pembunuhan perunding majlis yang ditemukan maut di rumahnya di Residensi Bestaria, Jalan Ukay Perdana, Dataran Ukay Perdana, Ampang, di sini semalam disiasat menjurus kepada motif hutang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintenden Mohd. Zaid Hassan berkata, laporan bedah siasat telah dibuat dan punca kematian adalah luka tusukan di dada.
“Kes ini masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Setakat ini, siasatan menjurus kepada motif hutang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan penemuan mayat mangsa berusia 33 tahun itu oleh rakan mangsa pada pukul 1 pagi.
Mangsa ditemukan maut terlentang dengan terdapat kesan tikaman pada bahagian dada dan perutnya. – UTUSAN ONLINE











