Strategi nasi sekupang menjadi - Utusan Malaysia

Strategi nasi sekupang menjadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika memperkenalkan ‘nasi sekupang’ pada Disember 2018, Ibrahim Abdul Rahim berasakan tindakannya itu sebagai strategi ‘gila’.

Kini peniaga berusia 37 tahun itu bersyukur kerana strategi yang dianggap ‘gila’ membuahkan hasil.

Dia berkata, idea menjual nasi sekupang tercetus kerana ingin membantu meringankan beban perbelanjaan harian pelanggannya dengan menawarkan hidangan mampu bayar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya selalu perasan, kebanyakan pelanggan hanya mengambil sosej, telur dan beberapa hidangan kecil untuk dijadikan lauk utama bagi sepinggan nasi.

“Mereka macam ‘takut-takut’ nak ambil lauk seperti ayam, ikan dan daging, mungkin beranggapan harga hidangan itu mahal,” katanya yang merupakan pemilik Baen Cafe The Power of Sedekah.

Kedai makan itu terletak bersebelahan Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Jalan Pondok Upeh, Balik Pulau, Pulau Pinang.


TARIK PELANGGAN

Menyedari itu, Ibrahim ligat memikirkan cara untuk menarik lebih ramai pelanggan, selain memastikan mereka puas hati kerana dapat menikmati hidangan yang diinginkan tanpa perlu membayar terlalu mahal.

Setelah berbincang dengan isterinya, Nurul Ain Mustafa, 33, dia mengambil keputusan untuk membuat tiga jenis nasi iaitu nasi beriani, nasi tomato dan nasi hujan panas, masing-masing dijual pada harga 10 sen sepinggan.

Dalam pada itu, mereka menyediakan kira-kira 40 jenis lauk yang dijual lebih murah berbanding harga semasa.

“Tidak sangka nasi sekupang mendapat sambutan menggalakkan sejak hari pertama diperkenalkan, lebih-lebih lagi setelah diviralkan pelanggan,” katanya yang berniaga dengan hanya berbekalkan pengalaman membantu arwah bapanya selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kira-kira 20 tahun lalu. Dia kemudian mengambil alih perniagaan nasi campur itu lima tahun kemudian.

Harga nasi beriani sekupang serta lauk seperti seketul ayam, acar sayur dan lauk sampingan lain di Cafe Baen agak murah jika dibandingkan dengan harga menu yang sama di pasaran.

“Kalau di kedai biasa, harga satu set nasi beriani antara RM7 hingga RM8, namun di kafe ini, pelanggan boleh menikmatinya pada harga RM4.70 sepinggan termasuk minuman seperti teh O, sirap, anggur atau oren yang berharga 10 sen secawan.

“Saya mengambil pendekatan jika kita permudahkan urusan orang, Allah akan permudahkan urusan kita. Malah, kini pun sudah terbukti,” tambahnya.

KETIKA Ibrahim Abdul Rahim memperkenalkan nasi sekupang, ideanya
KETIKA Ibrahim Abdul Rahim memperkenalkan nasi sekupang, ideanya dianggap ‘gila’, tetapi kini strateginya itu membuahkan hasil. 

‘GENGGAM BAGI TIRIS’

Ibrahim berkata, isu utama baginya bukanlah untuk mengekalkan margin keuntungan serta menampung kos pengeluaran, sebaliknya kepuasan pelanggan menjadi keutamaan.

“Ada orang cakap bahawa apa yang saya buat ini sangat berisiko dan boleh menjejaskan perniagaan, namun saya anggap kata-kata mereka sebagai cabaran. Ini kerana idea ‘gila’ ini lahir ketika saya menghadapi cabaran dalam perniagaan.

“Paling utama adalah niat hendaklah betul. Jika selalunya orang cakap ‘air digenggam tidak tiris’, namun saya memegang konsep sebaliknya iaitu apabila genggam air, biarlah tiris sedikit, sebab saya percaya rezeki yang Allah beri ada bahagiannya untuk orang lain,” ujarnya.

Maksud peribahasa air digenggam tidak tiris adalah seseorang yang kedekut dan terlalu berhati-hati mengeluarkan wang.

Mengakui perniagaannya semakin rancak, Ibrahim memberitahu bahawa jika dahulu dia hanya menggunakan antara 20 hingga 30 kilogram beras untuk jualan nasi campur setiap hari, namun setelah nasi sekupangnya tular, jumlah itu perlu digandakan bagi memenuhi permintaan.

Menurutnya lagi, berkat melancarkan nasi sekupang, dia kini mampu menabung berbanding ketika berniaga sejak 15 tahun lalu di mana dia terlalu memikirkan pelbagai kos yang perlu ditanggung serta jumlah kerugian harian tanpa berusaha untuk menabung.

IBRAHIM ABDUL RAHIM melayan pelanggan di kedai makannya, Baen Cafe The Power of Sedekah.
IBRAHIM ABDUL RAHIM melayan pelanggan di kedai makannya, Baen Cafe The Power of Sedekah.

HARGA ‘MESRA’ PELAJAR

Tinjauan penulis mendapati pelanggan yang terdiri daripada pelbagai bangsa tidak putus-putus mengunjungi kafe ini dan semua makanan ‘licin’ menjelang pukul 2 petang.

Seorang pelajar Kolej Vokasional Balik Pulau, Izzati Yasmin Asma Shami, 19, berkata, bukan sahaja harga makanan di kafe itu ‘mesra’ pelajar, malah masakannya juga sedap.

“Kebanyakan pelajar bukannya banyak duit, jadi, nak beli makan perlu berjimat. Sebagai pelajar semestinya saya rasa lega ada kafe ini,” katanya

Pelajar INTI International College Bayan Lepas, Elvin Yong , 19, berpendapat, konsep perniagaan yang diguna pakai Ibrahim ternyata dapat meringankan sedikit beban golongan yang kurang berkemampuan.

“Eloklah buat macam ini. Tambahan pula lauknya pelbagai dan sedap,” katanya.

Seorang pelanggan tetap Cafe Baen, Muhamad Haffiz Zainal Abidin, 37, berkata, idea nasi sekupang ini amat bijak sebab orang belum pernah buat lagi.

“Ini adalah sesuatu yang rare. Ia patut diteruskan,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini