Wang persiapan raya, rumah pusaka musnah dijilat api - Utusan Malaysia

Wang persiapan raya, rumah pusaka musnah dijilat api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN – Hati mana yang tidak luluh apabila rumah pusaka dan wang ditabung sejak dua bulan lalu untuk membeli barangan dan kelengkapan sempena Hari Raya Aidilfitri pada minggu depan musnah sekelip mata dalam satu kebakaran.

Dul Kadir Parijo, 28, dan kedua ibu bapanya, Parijo Parimon dan Samsiah Selamat yang masing-masing berusia 60 tahun menerima ujian yang sangat berat itu pada Ramadan kali ini apabila rumah mereka di Kampung Parit Satu, Sanglang di sini musnah terbakar kelmarin.

Sepatutnya wang berjumlah RM1,500 itu yang dikumpul dalam tabung digunakan tiga beranak itu untuk membeli pakaian dan kuih-muih untuk persiapan Syawal tidak lama lagi namun tidak kesampaian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun bagi Dul Kadir yang bekerja di Johor Bahru, keluarganya reda dengan dugaan itu walaupun mereka kini tinggal sehelai sepinggang. 

“Saya menerima panggilan telefon pada pukul 12.45 tengah hari daripada jiran yang mengatakan rumah kami terbakar. Sebaik sahaja tiba rumah separuh kayu yang didiami kami sekeluarga selama ini didapati hangus terbakar termasuk kereta kepunyaan bapa.

“Saya terus mencari ayah dan ibu saya yang biasanya pada waktu tengah hari berada di rumah sebelum dimaklumkan mereka berada di klinik kesihatan berhampiran.

“Ketika kejadian ibu bapa saya pergi klinik dan membeli barangan keperluan harian dan pengsan sebaik sahaja melihat rumah kami hangus terbakar sebaik sahaja pulang. Saya bersyukur kerana ibu bapa saya selamat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, buat sementara waktu, mereka sekeluarga akan tinggal dirumah abangnya, Mohd. Rizal, 40, tidak berapa jauh dari rumahnya.

Dia menyifatkan kejadian yang menimpa keluarganya sebagai satu dugaan dari Allah pada Ramadan kali ini dan bersyukur kedua-dua orang tuanya selamat dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, pelbagai pihak memberikan sumbangan kepada mereka seperti Pejabat Daerah Pontian, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Zulkifli Tasrif termasuk penduduk Kampung.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini