Tragedi Ramadan, 1 keluarga tinggal sehelai sepinggang - Utusan Malaysia

Tragedi Ramadan, 1 keluarga tinggal sehelai sepinggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN 13 Mei – Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tiga minggu lagi muram bagi sebuah keluarga di Kampung Parit Satu, Sanglang di sini apabila kediaman mereka hangus terbakar di sini kelmarin.

Ketika kejadian rumah tersebut tidak berpenghuni kerana pasangan suami isteri Parijo Parimon dan Samsiah Selamat yang masing-masing berusia 60 tahun berada di klinik kesihatan di bandar ini.

Kebakaran tersebut diketahui anak pasangan tersebut, Dul Kadir Parijo, 28, yang bekerja di Johor Bahru selepas dimaklumkan jirannya di kampung.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Dul Kadir, dia menerima panggilan telefon yang mengatakan rumahnya terbakar pada pukul 12.45 tengah hari itu.

Dul Kadir Parijo melihat rumahnya yang terlibat dengan kejadian kebakaran di Kampung Parit Satu, Sanglang, Pontian, Johor tengah hari kelmarin.

“Sebaik sahaja tiba rumah separuh kayu yang didiami kami sekeluarga selama ini hangus terbakar termasuk kereta kepunyaan bapa.

“Saya terus mencari ayah dan ibu saya yang biasanya pada waktu tengah hari berada di rumah sebelum dimaklumkan mereka berada di klinik kesihatan berhampiran.

“Ketika kejadian ibu bapa saya juga pergi membeli barangan keperluan harian dan pengsan sebaik sahaja melihat rumah kami hangus terbakar sebaik sahaja pulang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Dul Kadir, duit simpanannya sebanyak RM1,500 yang dikumpul dalam tabung bagi membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri sejak dua bulan lalu turut hangus dalam kejadian tersebut.

“Minggu depan, saya bercadang untuk membawa kedua-dua orang tua membeli pakaian, kuih-muih dan persiapan yang lain, namun tidak kesampaian apabila wang tersebut tidak dapat diselamatkan,” ujarnya.

Dul Kadir Parijo (lima dar kini) menerima sumbangan daripada orang ramai di Kampung Parit Satu, Sanglang, Pontian, Johor semalam.

Katanya, buat sementara waktu, mereka sekeluarga akan tinggal dirumah abangnya, Mohd. Rizal, 40, tidak berapa jauh dari rumahnya.

Katanya, beliau menyifatkan kejadian yang menimpa keluarganya sebagai satu dugaan dari Allah pada Ramadan kali ini dan bersyukur kedua-dua orang tuanya selamat dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, pelbagai pihak memberikan sumbangan kepada mereka seperti Pejabat Daerah Pontian, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Zulkifli Tasrif termasuk penduduk Kampung. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini