KUANTAN 12 Mei – Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan semalam tidak boleh dianggap sebagai bukti mutlak kekuatan gabungan pakatan berkenaan.
Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kemenangan itu penting tetapi ia tidak boleh dikatakan bahawa pakatan berkenaan kembali mendapat sokongan rakyat.
“Kita (PH) bersyukur kerana mencapai kemenangan di PRK Sandakan semalam, ia memberikan suntikan semangat kepada parti-parti komponen dalam PH.
“Bagaimanapun, kita jangan anggap semuanya ‘ok’ kerana ia hanya PRK dan kita perlu terus bekerja kuat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada 14 penerima bantuan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Indera Mahkota di sini hari ini.
Calon DAP, Vivian Wong Shir Yee mempertahankan kerusi PH di Parlimen Sandakan apabila menewaskan empat pencabar lain dalam PRK kawasan itu semalam.
Vivian memperoleh majoriti 11,521 undi selepas mendapat 16,012 undi meninggalkan jauh pencabar terdekat iaitu calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin yang hanya mendapat 4,491 undi. – UTUSAN ONLINE











