SHAH ALAM 12 Mei – Siapa sangka dengan hanya pengalaman menjadi bilal sambilan menggantikan datuk saudara sejak usia 12 tahun, kini menjadi imam solat sunat tarawih di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang, dekat sini bagi mengimamkan puluhan jemaah.
Muhammad Faris Farhan Mohd. Fauzi, 13, merupakan pelajar Maahad Tahfiz Darul Hikmah, Denai Alam, berkata, dia amat terkejut apabila mudirnya, Abdullah al-Hakim Zainon mencadangkan kepadanya untuk menjadi imam bagi solat sunat tarawih di masjid tersebut.
Menurut anak sulung kepada pasangan Mohd. Fauzi Mohd. Jais, 46, dan Norziyana Yahaya, 39, itu, apabila diberitahu mengenai perkara itu, dia terus memaklumkan kepada ibu bapanya sejurus tiba di rumah pada waktu petang.
“Ayah memaklumkan bahawa Ustaz Abdullah ada menghubunginya berhubung perkara itu dan menyakinkan bahawa saya mampu untuk menjadi imam berdasarkan kemampuan serta syarat-syaratnya.
“Sebelum ini, selain menjadi bilal menggantikan Tok Lang (datuk saudara), saya juga pernah mengimamkan solat Isyak dua kali di masjid yang sama pada tahun ini. Walaupun pernah mengimamkan solat fardhu, saya tetap berdebar kerana pertama kali menjadi imam untuk solat sunat tarawih,” katanya yang membacakan surah An-Naba, An-Nazi’at, Abasa bagi solat sunat tersebut.
Dalam pada itu, Mohd. Fauzi berkata, anaknya itu menunjukkan minat seawal usia 10 tahun dengan memasuki nasyid dan seterusnya menyertai pertandingan tilawah peringkat sekolah setahun kemudian.
Katanya, ketika itu, Muhammad Faris Farhan menjadi johan antara sekolah bagi Zon Petaling Perdana dan minatnya semakin menonjol apabila dia sendiri belajar mengaji serta merujuk YouTube untuk mempelajari teknik taranum selain diperbaiki oleh guru agama di Sekolah Kebangsaan Subang.
“Sebenarnya, sejak daripada dalam kandungan lagi, dia telah dibacakan ayat suci al-Quran dan seusia empat tahun kami menghantarnya untuk mengaji serta diselitkan dengan mempelajari hukum tajwid.
“Saya dan isteri tidak pernah memaksanya untuk mempelajari tetapi atas dasar minatnya ini kami membuat keputusan untuk menghantarnya ke sekolah tahfiz supaya dapat belajar dengan lebih mendalam. Faris juga menjalankan aktiviti harian seperti beriadah iaitu bermain futsal seperti biasa,” ujarnya.
Sementara itu, Abdullah menjelaskan, Muhammad Faris merupakan pelajar pertama yang diberikan peluang menjadi imam di masjid sejak maahad tahfiz dibuka empat bulan lalu.
“Faris merupakan pelajar yang cepat belajar, sebutan dan kelunakan suaranya selain mempunyai asas yang kukuh menyebabkan saya memberikan tugasan itu.
“Tiada masalah dia menjadi imam walaupun usianya muda kerana syarat utama mestilah seseorang itu telah mumayyiz, mengetahui bacaan dalam solat dan mampu membacanya dengan baik,” katanya.
Ditanya berhubung rakaman secara langsung melalui Facebook Maahad Tahfiz Darul Hikmah Denai Alam, Abdullah memaklumkan bahawa tujuannya adalah untuk memberi kesedaran terhadap kepentingan membaca al-Quran sejak usia muda dan menunjukkan pelajar tahfiz juga mempunyai masa depan cerah di luar sana. – UTUSAN ONLINE











