Ramadan bawa sinar baharu buat Nenek Manis - Utusan Malaysia

Ramadan bawa sinar baharu buat Nenek Manis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING 12 Mei – Hanya senyuman dapat menggambarkan kegembiraan Manis Awang Sulaiman, 70, apabila menerima bantuan dan pertolongan banyak pihak selepas kisahnya disiarkan Utusan Online pada Jumaat lalu.

Senyuman manis dan amat bermakna yang menghiasi wajah Manis seakan penawar kepada segala kedukaan dan keperitan yang dialaminya selama ini walaupun tidak dapat memadamkan kisah sedih dan susah payah hidupnya selama ini.

Kehidupan daif warga emas itu atau lebih mesra dipanggil Nenek Manis yang tinggal di rumah usang bersama-sama dua anak serta seorang cucu di Kampung Sungai Padang, Endau di sini mendapat perhatian ramai pihak.

Memuatkan artikel berkaitan…
MAS IMRAN ADAM (kiri) menyerahkan bantuan Econsave kepada Manis Awang Sulaiman yang hidup daif dan m
MAS IMRAN ADAM (kiri) menyerahkan bantuan Econsave kepada Manis Awang Sulaiman yang hidup daif dan miskin bersama-sama dua anak dan cucunya di  Kampung Sungai Padang, Endau, Mersing, Johor, semalam. – UTUSAN ONLINE/ NUR AISYAH MAZALAN

Ramadan kali ini seakan satu rahmat besar buat Manis sekeluarga apabila mendapat bantuan daripada Pasaraya Econsave selain pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) datang ke rumahnya membantu membersihkan rumahnya.

“Alhamdulillah nenek bersyukur ramai yang datang menghulurkan bantuan kalau sebelum ini jarang ada orang datang jenguk nenek.

“Terima kasih semua yang bantu nenek dan dapatlah nenek gembira sikit dengan Ramadan serta raya kali ini sebab banyak barang mereka bagi,” katanya sambil tersenyum lebar ketika ditemui di rumahnya semalam.

KIRA-KIRA 50 ahli NGO dan pekerja Econsave merakam kenangan bersama-sama Manis Awang Sulaiman selepa
KIRA-KIRA 50 ahli NGO dan pekerja Econsave merakam kenangan bersama-sama Manis Awang Sulaiman selepas penyerahan bantuan dan aktiviti membersihkan rumah arga emas itu di  Kampung Sungai Padang, Endau, Mersing, Johor, semalam. – UTUSAN ONLINE/ NUR AISYAH MAZALAN

Kira-kira 50 sukarelawan terdiri daripada NGO daripada Mersing Cakna, anggota polis daripada Balai Polis Endau serta kakitangan Econsave bergotong-royong membersihkan kawasan rumah serta menukar tikat getah selain mengemas rumah yang didiami di tanah tol sejak 20 tahun lalu.

Sementara itu, Pengurus Operasi Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, pihaknya terpanggil untuk menghulurkan bantuan seperti keperluan harian serta kelengkapan persediaan raya kepada nenek Manis.

“Ini merupakan satu inisiatif pihak kita menjalankan tanggungjawab sosial kotporat (CSR) terhadap mereka yang memerlukan.

“Hari ini kita menyalurkan bantuan seperti kelengkapan harian berjumlah lebih RM1,500 kepada keluarga ini dan berharap sedikit bantuan ini dapat meringankan sedikit beban yang dialami mereka,” katanya.

Utusan sebelum ini menyiarkan kisah hidup Manis yang miskin terpaksa menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan penuh duka apabila berteduh di rumah usang bersama-sama seorang anak yang menghidap penyakit mental serta penyakit saraf.

Malah kehidupan penuh pahit dilalui warga emas itu terlalu perit apabila berbuka dan bersahur dengan lauk ala kadar seperti telur, ikan atau ayam goreng bergantung pada rezeki yang ada. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini