KOTA KINABALU 12 Mei – Polis menahan 42 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan penyalahgunaan dadah dalam operasi di sekitar bandar raya ini termasuk Manggatal, Sembulan dan Likas dalam tempoh seminggu bermula 4 Mei hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kesemua suspek ditahan berumur 15 hingga 50 tahun itu turut melibatkan 10 warga asing yang ditahan dalam operasi dijalankan di Kampung Lokub, Kampung Labou, Manggatal, Kampung Bakau, Likas dan Kampung Sembulan dan Kampung Air di sini.
“Seorang individu ditangkap atas kesalahan membekal dan pengedaran dadah, 17 individu ditangkap atas kesalahan memiliki dadah dan 24 individu lagi didapati positif selepas ujian air kencing dijalankan.
“Selain itu, pihak kita turut merampas dadah jenis syabu seberat 8.23 gram dianggarkan bernilai RM1,500 sepanjang operasi itu, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Habibi, Op Tapis akan terus diperkasa pihaknya dengan melakukan 18 operasi sepanjang minggu serta terus memperhebat usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar Kota Kinabalu serta kawasan berhampiran bagi memelihara kesejahteraan masyarakat setempat.-BERNAMA











