Berbelanja secara berhemat, cara penduduk Sarawak berhadapan kenaikan harga - Utusan Malaysia

Berbelanja secara berhemat, cara penduduk Sarawak berhadapan kenaikan harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING – Memandangkan kos kehidupan yang semakin meningkat, ramai penduduk Sarawak bukan sahaja mengambil langkah berjimat-cermat malah tampil dengan cara kreatif untuk berjimat wang terutama menjelangnya perayaan Gawai Dayak dan Hari Raya.

Satu tinjauan yang dijalankan oleh Bernama menunjukkan orang ramai masih mampu memenuhi keperluan harian dengan berbelanja secara berhemat dan menetapkan beberapa peraturan untuk mengurus kewangan mereka bagi pembelian makanan dan keperluan dapur.

Seorang suri rumah, Selia Jugas, 53, dari Kanowit, berkata, pengalaman tinggal di rumah panjang sejak remaja telah mengajar beliau untuk berhati-hati dalam menguruskan perbelanjaan terutama bila beliau terpaksa menggunakan bot untuk pergi ke pekan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kebiasaannya, saya merancang perbelanjaan rumah dengan mengasingkan RM400 untuk membeli makanan dalam tin dan kering seperti ikan masin, yang boleh bertahan sehingga sebulan dan RM150 lagi untuk bekalan daging segar untuk satu minggu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ibu kepada lima anak itu juga dapat menyimpan duit dengan menanam sayur-sayuran di belakang rumah, bagi keperluan keluarga dengan menghasilkan sayur segar dan bebas daripada racun serangga, katanya.

Sementara itu, pelajar Undang-undang Syariah, Jah Adibah Jamain berkata, peraturan yang beliau tetapkan ialah mengelakkan berbelanja di luar kemampuan dengan melakukan perbandingan harga terutama kerana ada beratus-ratus jualan promosi dan diskaun di setiap kedai semasa Ramadan.

Pelajar berusia 24 tahun dari Kolej Universiti Islam Selangor itu berkata, beliau juga kurang berbelanja untuk makanan dengan berkongsi makanan semasa berbuka dengan rakan university dan ini dapat mengurangkan beban perbelanjaan sebagai pelajar.

Usahawan, Isabella Abdul Razak, 27, yang mengendalikan sebuah bakeri dari rumah berkata, rahsia beliau ialah dengan mengasingkan perbelanjaan perniagaan hariannya dengan perbelanjaan untuk rumah.

Ibu kepada dua orang anak ini akan memastikan beliau membuat keuntungan dengan mencatat dan menilai terhadap perniagaannya dan pengaliran tunai peribadi setiap hari di samping menerima tempahan pelanggan berdasarkan harian.

Seorang lagi suri rumah, Lina Eyak, 40, dari Sibu, berkata, dengan dua anaknya masih belajar di universiti, beliau mula mengawal tabiat membeli-belahnya dan akan membuat senarai barangan yang hendak dibeli bagi mengawal perbelanjaan.

“Suami dan saya menetapkan dana tertentu untuk pendidikan anak dan melakukan beberapa kerja seperti menjual hasil laut di Pasar Sibu Tengah untuk menampung beberapa perbelanjaan,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini