PPN tolak pindaan peraturan Pertubuhan Peladang - Utusan Malaysia

PPN tolak pindaan peraturan Pertubuhan Peladang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 12 Mei – Kira-kira 150 ahli Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) hari ini mengadakan bantahan secara aman terhadap perlaksanaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 berkuat kuasa 1 Mei lalu.

Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan, Datuk Aimi Yusof berkata, bantahan berkenaan dibuat setelah pihaknya menyedari bahawa perlaksanaan pindaan itu telah mencabuli hak ahli pertubuhan itu di semua peringkat.

Malah katanya, pindaan peraturan tersebut secara terang-terangan telah menafikan hak mereka untuk memilih pemimpin yang bertangunggjawab dalam mentadbir pertubuhan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pindaan itu ada menyebut bahawa jumlah lantikan oleh pihak Menteri terutama di Pertubuhan Peladang Negeri dan Pertubuhan Kebangsaan (Nafas) melebihi daripada jumlah yang dilantik dalam Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang tersebut.

AHLI Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan, Datuk Aimi Yusof (dua dari kiri) menunjukk
AHLI Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan, Datuk Aimi Yusof (dua dari kiri) menunjukkan dokumen Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE/ Rosmizan Resdi

“Ianya seolah-olah menafikan hak kami sedangkan kami sedar bahawa Pertubuhan Peladang kami ini bukan Syarikat milik kerajaan (GLC) yang boleh diatur dan dicatur sewenang-wenangnya,” katanya selepas mengadakan bantahan di Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini hari ini.

Menerusi Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 22 April 2019, Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 menetapkan komposisi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPK mestilah terdiri daripada tujuh ahli yang dalam mesyuarat agung tahunan dan lima ahli lagi dilantik oleh menteri, seorang daripadanya hendaklah merupakan Peladang Muda dan seorang lagi merupakan Peladang Nita.

Bagi AJP PPN pula, empat ahli dipilih melalui mesyuarat agung tahunan manakala lima lagi ahli dilantik oleh menteri dan pengerusi dinamakan oleh AJP dalam kalangan mereka yang diluluskan oleh menteri.

Lantikan AJP Nafas pula, lima ahli dipilih dalam mesyuarat agung tahunan dan enam ahli dilantik oleh menteri manakala pengerusi dinamakan oleh AJP dalam kalangan mereka yang diluluskan oleh menteri.

Warta yang dibuat pada 19 April 2019 oleh Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Aliman dan diluluskan pada tarikh yang sama oleh Menteri Pertanian dan Indusrtri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub itu dikuatkuasakan pada 1 Mei lalu.

Terdahulu, kesemua ahli PPN berkenaan menghadiri taklimat mengenai pindaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (2019).

Dalam pada itu, Aimi berkata, pindaan berkenaan telah dibuat tergesa-gesa yang dilihat mempunyai kepentingan tertentu.

“Kaedah dahulu sangat relevan dan bagus untuk kami. Seboleh-bolehnya jangan sesiapa ganggu dan biarlah kami yang menentukan hala tuju dan kepimpinan Pertubuhan Peladang kami sendiri.

“Di Kelantan, kita mempunyai 34 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) termasuk 13 di bawah Kada dan 21 di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang dengan keahlian seramai 90,000 ahli di seluruh negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini