KUALA LUMPUR 12 Mei – Sebanyak 500 bekas bubur lambuk yang disediakan oleh 100 sukarelawan terdiri daripada pelajar sekolah, kolej dan universiti melalui program Jejak Ramadan diagih di sekitar Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semalam.
Timbalan Pengerusi Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM), Ustaz Mohd. Hanif Nasaruddin, 32, berkata, agihan juadah berbuka puasa itu bersempena penganjuran program Jejak Ramadan yang julung kali diadakan di masjid berkenaan.
“Alhamdulillah, dengan bantuan sukarelawan yang melibatkan diri dalam program ini dapatlah kami menjayakan beberapa aktiviti amal termasuk gotong-royong bubur lambuk untuk diedarkan kepada masyarakat.
“Saya berharap aktiviti ini dapat memberi manfaat kepada sukarelawan khususnya dalam membentuk mereka menjadi ejen yang mengubah diri dan orang lain untuk berusaha mencapai kejayaan hidup, baik di dunia dan juga di akhirat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Mohd. Hanif, berkata, sempena pelancaran Jejak Ramadan, pihaknya akan memulakan tiga jelajah iaitu ke Palu di Indonesia; Grik, Perak dan Semporna, Sabah untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Perasmian program Jejak Ramadhan berkenaan dirasmikan oleh Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ustaz Ehsan Mohd. Hosni bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Pahang (UMP). Prof. Datuk Dr. Yusserie Zainuddin, pada Jumaat lalu.
Program berkenaan mendapat kerjasama Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ahli Jawatan Kuasa (AJK) dan Sukarelawan Youth of Strength and Happiness (YOSH) serta pelajar dari institusi pengajian tinggi awam antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Turut terlibat, pelajar dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Pusat Asasi UiTM Dengkil, Selangor, Kolej Vokasional Slim River, Perak dan Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS serta murid sekolah kebangsaan sekitar Putrajaya. – UTUSAN ONLINE











