MILAN 12 Mei – Atalanta melonjak ke tangga ketiga Serie A selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Genoa membolehkan kelab yang berpangkalan di Bergamo itu semakin hampir untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara buat kali pertama dengan baki dua perlawanan musim ini.
Jaringan Musa Barrow dan Timothy Castagne memastikan Atalanta mendahului Inter Milan dua mata yang akan bertemu Chievo, hari ini.
Gol tunggal Hakan Calhanoglu membolehkan AC Milan menewaskan Fiorentina, menghidupkan kembali harapan skuad kendalian Gennaro Gattuso itu ke kejohanan berprestij di Eropah buat kali pertama sejak 2013-2014.
AC Milan berada di kedudukan kelima, satu mata di belakang Inter dengan Roma di tempat keenam ketinggalan tiga mata dan dijadual bertemu juara Itali, Juventus, hari ini.
“Kemenangan hari ini amat penting untuk kami menamatkan saingan liga memandangkan setiap mata amat berharga.
“Secara matematiknya, kami hanya beberapa mata sahaja lagi dan itu memberi kami motivasi untuk beraksi di final Coppa Italia. Pasukan ini mempamerkan mentaliti luar biasa,” kata jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini.
Juventus dan Napoli sudah pun layak ke Liga Juara-Juara musim depan namun perebutan dua slot masih terbuka. – AFP











