Nenek Manis ceria, gembira ramai yang bantu - Utusan Malaysia

Nenek Manis ceria, gembira ramai yang bantu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING – Kehidupan daif nenek Manis Awang Sulaiman yang tinggal di rumah usang bersama dua anak serta seorang cucu di Kampung Sungai Padang, Endau di sini mendapat perhatian ramai pihak.

Manis, 70, yang mesra disapa nenek ternyata ceria dan gembira kisah hidupnya disiarkan Kosmo! Online pada Khamis lalu mencuri perhatian pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) serta Pasaraya Econsave.

“Alhamdulillah nenek bersyukur ramai yang datang hari ini (semalam) menghulurkan bantuan kalau sebelum ini jarang ada orang datang jenguk nenek.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Terima kasih semua yang bantu nenek dan dapatlah nenek gembira sikit dengan Ramadan serta raya kali ini sebab banyak barang mereka bagi,” katanya sambil tersenyum lebar.

Kira-kira 50 sukarelawan terdiri daripada NGO daripada Mersing Cakna, anggota polis daripada Balai Polis Endau serta kakitangan Econsave bergotong-royong membersihkan kawasan rumah serta menukar tikar getah selain mengemas rumah yang didiami di tanah lot sejak 20 tahun lalu.

Nenek Manis
Nenek Manis tersenyum apabila kehidupan daifnya sekeluarga mendapat perhatian pelbagai pihak menghulurkan bantuan. Foto oleh NUR AISYAH MAZALAN

 

Sementara itu, Pengurus Operasi Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, pihaknya terpanggil untuk menghulurkan bantuan seperti keperluan harian serta kelengkapan persediaan raya kepada Nenek Manis.

“Ini merupakan salah satu inisiatif pihak kita menjalankan tanggungjawab sosial kotporat (CSR) terhadap mereka yang memerlukan.

“Hari ini kita menyalurkan bantuan seperti kelengkapan harian berjumlah lebih RM1,500 kepada keluarga ini dan berharap sedikit bantuan ini dapat meringankan beban yang dialami mereka,” katanya.

Kosmo! Online pada 9 Mei lalu menyiarkan kisah kedaifan Manis terpaksa menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan penuh duka apabila berteduh di rumah usang bersama seorang anak yang menghidap penyakit mental dan saraf.

Malah kehidupan penuh pahit dilalui warga emas itu terlalu perit apabila berbuka dan bersahur dengan lauk ala kadar seperti telur, ikan atau ayam goreng bergantung pada rezeki yang ada. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini