KUBANG PASU 11 Mei – Penubuhan Felda Global Ventures (FGV) Holdings Berhad didakwa sebagai satu skim ‘jahat’ yang dirancang oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan besar daripada kenaikan saham semasa syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Datuk Johari Abdul, pihak-pihak yang terlibat itu kemudian melarikan diri dan kini meninggalkan Felda terpaksa menanggung hutang apabila harga sahamnya turun.
Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, semasa persidangan di Dewan Rakyat, beliau sejak dahulu telah menyatakan pendiriannya secara konsisten bahawa penubuhan FGV Holdings Berhad tidak diperlukan.
“Sekiranya hendak disenaraikan (Felda) di Bursa Malaysia, seharusnya penyenaraiannya dilakukan oleh Felda sendiri dan bukannya oleh FGV (Holdings Berhad).
“Oleh itu, saya meminta pihak Peguam Negara (AG) agar segera mendakwa mereka yang terlibat kerana sehingga kini, yang berkenaan masih lagi tidak dituduh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan Jelajah MPN PKR Cabang Kubang Pasu di Felda Bukit Tangga di sini malam ini.
Tambah Johari, semasa mengambil-alih kerajaan, Pakatan Harapan (PH) sama sekali tidak menyangka masalah dihadapi oleh Felda itu begitu meruncing.
Katanya, hutang yang ditanggung Felda begitu besar sehingga memerlukan masa untuk memulihkan semula konglomerat terbesar negara tersebut.
“Saya juga menyeru kerajaan agar bertindak segera menangani isu-isu berkaitan Felda agar kita dapat mengembalikan semula keyakinan kepada peneroka.
“Ini termasuklah hutang-hutang yang ditanggung oleh peneroka seperti pinjaman perumahan dan sebagainya,” kata beliau.
Terdahulu, Johari turut meluangkan masa selama kira-kira sejam bersama penduduk untuk berdialog seterusnya berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib secara berjemaah. – UTUSAN ONLINE











