KEPALA BATAS 11 Mei – Tiga buah rumah berkembar di Pengkalan Bangor, di sini musnah dalam kebakaran hari ini dipercayai akibat dibakar oleh seorang lelaki yang mengalami sakit mental.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.
Difahamkan, lelaki berkenaan yang juga merupakan pemilik kepada salah sebuah kediaman berkenaan telah melarikan diri selepas kebakaran itu berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, menurut maklumat yang diperolehi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berada di lokasi kejadian mendapati lelaki berusia 48 tahun itu tinggal seorang diri di salah sebuah rumah berkenaan selepas bercerai.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba namun pihak kami telah membuat laporan polis berhubung maklumat yang diperolehi ini,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.02 petang.
“Sebuah jentera bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda bergegas ke lokasi kebakaran.
“Ketika tiba di lokasi kejadian pihak kami mendapati api sedang marak dan dua buah rumah telah musnah terbakar manakala sebuah lagi sedang terbakar,” katanya.
Jurucakap JBPM itu memaklumkan, api dapat dikawal dari terus merebak ke rumah lain pada pukul 3.30 petang.
“Kebakaran ini berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 10 minit kemudian,” katanya. – UTUSAN ONLINE











