MASIH segar dalam ingatan Noh Salleh, bagaimana isterinya, Mizz Nina dikutuk segelintir orang di depan mata.
Bergelar seorang penyanyi bertaraf antarabangsa, semua orang tahu penampilan Nina ketika zaman kegemilangannya begitu seksi selain lincah menari di pentas dengan muzik ala disko.
Keadaan itu berubah umpama 360 darjah sejak enam tahun lalu setelah Nina sendiri memutuskan mahu meninggalkan bidang seni kerana mahu fokus kembali ke pangkal jalan.
Sebagai suami, Noh sendiri melihat bagaimana isterinya itu berkembang mekar cuba menjadi seorang wanita yang baik dan hal itu lebih bermakna kerana dia sendiri tidak pernah memaksa.
“Sekarang baru saya benar-benar faham istilah bahasa Inggeris don’t judge a book by it’s cover. Saya rasa puas sebab dulu orang kutuk dia di depan mata dan saya sendiri tak terjawab dengan kata-kata kesat mereka. Sekarang lihatlah bagaimana perubahannya, ia sama sekali tidak dijangka.
“Sebab itulah kita ni jangan mudah menghukum. Kita mengutuk dan mengecam, tetapi orang yang dihina itu kemudiannya berubah menjadi lebih baik daripada kita, dosa kita bagaimana pula?” katanya.
Merasa bangga dan terharu dengan perubahan baik Nina, Noh juga mengaku begitu mencemburui hidayah yang dimiliki oleh isterinya itu demi mengejar keberkatan di dunia dan akhirat.
Bahkan, kata vokalis kumpulan Hujan ini yang dia tidak melihat mana-mana selebriti atau wanita yang mahu berubah sebagaimana Nina.
“Keyakinannya, kesungguhannya untuk belajar dan mendalami agama membuatkan saya cemburu. Terus-terang, macam saya kadang-kadang mengaji pun terasa penat. Rasanya, kalau ada yang sama macam dia pun, saya fikir mungkin seniwati Noorkumalasari.
“Kumalasari pun ‘hilang’ ketika dia berada di puncak kegemilangan dan Nina pun macam dia. Saya rasa mungkin juga Kumalasari ialah idola Nina,” katanya.
BUKAN JENIS MEMINTA
KATA penyanyi berusia 34 tahun ini, dia sebenarnya menyokong penuh perubahan baik Nina termasuk hasratnya untuk kembali semula melanjutkan pengajian.
Memaklumkan bahawa isterinya kini merupakan pelajar pengkhususan Taklim al-Quran di Alhuda International School secara atas talian, Noh melihat ia adalah salah satu kesungguhan Nina untuk mendalami al-Quran.
“Antara tugasannya adalah menjelaskan hadis al-Quran kepada sekurang-kurangnya tiga individu, Sayalah orang pertama yang akan dengar, kemudian ustazah yang mengajar al-Quran di rumah kami.
“Kadang-kadang saya tengok dia dah macam budak sekolah, pakai beg galas bawa buku-bukunya. Tetapi ironinya, semua itu cuma di rumah,” katanya sambil tertawa.
Dalam pada itu, Noh juga bersyukur kerana isterinya itu bukan jenis wanita yang gemar meminta-minta.
Biarpun ramai tahu Nina datangnya daripada sebuah keluarga yang berada dan berkemampuan, Noh enggan menjadikan ia sebagai satu alasan untuk dia tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami.
Sebagai seorang lelaki, ego itu perlu ada dalam diri kerana lumrah kaum lelaki menjadi penjaga dan pelindung isteri.
“Bayangkan, minta duit pun dia tak pernah, apa lagi meminta benda-benda lain. Cuma, nafkah sahaja dia minta kerana al-Quran sebut tentang perkara itu.
“Tapi sebagai lelaki takkanlah kita pula yang nak tumpang dia? Jadi, sebagai suami selagi boleh saya cuba sediakan segala keperluan sebab itu sudah tanggungjawab,” tambahnya.
Sedar bahawa mungkin ada sesetengah lelaki suka atau lega kerana mempunyai isteri yang tidak suka meminta, bagi Noh sebaliknya pula.
“Ada juga tekanannya kerana saya jadi runsing apa yang dia mahu apa yang dia tak mahu. Ia berbalik kepada soal ego tadi, biasalah lelaki,” katanya.
NOH UNTUK NINA
DALAM pada itu, berkongsi mengenai seleksi lagu cinta untuk koleksi nyanyian solo di bawah jenama Noh Salleh, penyanyi ini mengakui inspirasinya terarah pada Nina.
Isterinya itu adalah sumber inspirasinya setiap kali menghasilkan lagu-lagu cinta dan gembira kerana ramai peminat juga menyokong karyanya setakat ini.
“Memang projek lagu cinta semuanya saya buat untuk dia. Saya juga pilih tarikh 1 Julai untuk melancarkan lagu terbaharu nanti sempena hari jadi Nina dan sambutan ulang tahun perkahwinan kami yang ke-9.
“Sekarang ni pun saya cuba untuk tidak terlalu fokus pada muzik semata. Saya ambil kurang lebih 30 peratus untuk muzik dan kerjaya sementara 70 peratus lagi masa untuk bersama keluarga,” katanya
Selain sasaran penghasilan album Noh Salleh, penyanyi ini juga meletakkan sasaran untuk lebih fokus pada perkongsian yang bermanfaat dalam media sosial.
Kini cenderung ke arah gaya hidup sihat dan melakukan amal jariah, kata Noh semua itu adalah sebagai perkongsian yang diikuti oleh rata-rata pengikutnya termasuk penyokong Hujan, Raingers.
“Orang tak tahu yang saya menggalas tanggungjawab besar. Saya nak yang mana mengikut dalam media sosial untuk sama-sama melakukan kebaikan dan kebajikan.
“Tuhan berikan saya segala perhatian dan populariti, jadi lebih bermakna kalau ia digunakan untuk jalan yang baik, sekurang-kurangnya kita semua dapat manfaatnya,” katanya.











