SIAPA sangka, pada mulanya sekadar hadir untuk menjayakan persembahan kemunculan pertama kali The Jonas di Anugerah Muzik Billboard, Las Vegas, Joe Jonas sebenarnya ada kejutan lain.
Memilih 1 Mei lalu sebagai tarikh bermakna buat dirinya, penyanyi ini nekad berkahwin dengan tunangnya, Sophia Turner.
Bagaikan tidak dirancang, semuanya berlaku dengan sepantas kilat apabila pasangan itu bersetuju untuk berkahwin di sebuah gereja terkenal di lokasi berdekatan Las Vegas.
Menurut penduduk tempatan, gereja L’Amour cukup terkenal sebagai sebuah lokasi perkahwinan segera atau dikenali dengan panggilan ‘terowong ikatan janji’.
Joe dan pelakon utama drama bersiri popular dunia, Game Of Thrones (GOT) itu bertunang sejak 2017 dan dikhabarkan mengimpikan agar majlis perkahwinan mereka diadakan di Perancis.
Namun barangkali merasa terinspirasi dengan lokasi di Las Vegas, keputusan itu dibuat oleh mereka memandangkan dalam masa sama, adik-beradiknya, Nick dan Kevin turut ada bersama isteri masing-masing.
Sepatutnya majlis tersebut bersifat intim lantaran dihadiri dalam kalangan kenalan terdekat dan keluarga sahaja.
Namun ia telah ‘dibocorkan’ oleh teman artis mereka iaitu Diplo yang merakamkan detik-detik penyatuan dua hati itu dan kemudiannya dikongsi dalam Instagram miliknya.
Dalam rakaman video yang dimuat naik oleh Diplo, kelihatan Sophie yang memegang bunga tangan dalam persalinan gaun pengantin serba putih berjalan menuju ke arah Joe.
Banyak mata tertumpu pada ‘paderi’ yang dipertanggungjawabkan untuk menyatukan pasangan ini.
Masakan tidak, kedua-dua selebriti ini disatukan oleh seorang lelaki yang memakai persalinan menyerupai mendiang pelakon dan penyanyi hebat era 50-an, Elvis Presley. Ada juga menganggap perwatakan lelaki itu melucukan.
TIADA PERSIAPAN
SELAIN itu, agak aneh juga kerana dalam majlis ini tidak kelihatan sahabat Sophie iaitu Maisie William yang bersama-sama membintangi drama bersiri GOT.
Sedangkan, Sophie dalam sebuah kenyataannya kepada media sebelum ini menegaskan Maisie ialah antara individu penting yang perlu hadir sempena majlis perkahwinannya untuk menjadi pengapit.
Pun begitu, itu tidak berlaku di Las Vegas baru-baru ini. Barangkali sudah namanya perkahwinan segera, segala persiapan tidak dilakukan dengan perancangan teliti.
Dalam pada itu, menurut sumber, meski sudah selesai berkahwin di Las Vegas, Joe dan Sophie tetap akan mengadakan satu lagi majlis resepsi secara besar-besaran menjelang akhir tahun ini.
Hal itu kerana masing-masing telah lama bersetuju untuk mengadakan majlis yang lebih meriah di Eropah.
Pasangan ini menjalin hubungan cinta sejak 2016 dan hubungan mereka bermula apabila salah seorang teman baik mereka mencadangkan agar kedua-duanya bertemu.
Selepas saling mengenali, Joe tidak mengambil masa yang lama untuk melamar Sophie dan mengikat tali pertunangan pada 2017.











