Inspirasi daripada kegagalan lalu - Utusan Malaysia

Inspirasi daripada kegagalan lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAGAL sekali tidak bermakna gagal selamanya. Kerana itu, Dennis Lau tidak pernah berputus asa membuktikan kepada dunia dia boleh menjadi seorang insan berjaya walaupun kurang menyerlah dalam bidang akademik.

Menyedari diri kurang genius dalam pelajaran, sejak di bangku sekolah menengah lagi dia nekad mahu memanfaatkan dan mengasah bakat yang dikurniakan Tuhan kepadanya iaitu dalam bidang muzik.

Pada usia 33 tahun, pemuda kelahiran Ipoh, Perak ini sekurang-kurangnya sudah boleh berbangga kerana berjaya membina nama sebagai pemain biola elektronik dan piano berkarisma tanah air.

Memuatkan artikel berkaitan…

Optimis mahu berkongsi inspirasinya itu, maka tercetus idea mahu mengadakan konsert diberi nama Dennis Lau & Friends The Chosen 2019 pada 29 Jun depan.

The Chosen dipilih sebagai tema konsert ini sebagai mewakili permulaan usaha Dennis menerusi program mentor dan kelas amatur Give Back dengan kerjasama sebuah badan amal Teach For Malaysia (TFM).

“Saya berada di tahap ini kerana dikelilingi oleh orang yang percaya kepada bakat yang ada di dalam diri. Mereka yang selalu memberi galakan dan membuka banyak peluang kepada saya.

“Sekarang saya menjadi lebih yakin dan sudah tiba masanya untuk saya kembali menyumbang sesuatu kepada bidang ini. Konsert ini diberi nama The Chosen kerana kita semua dipilih untuk tujuan tertentu dalam kehidupan dan menyumbang kepada kebaikan.

“Menerusi kerjasama dengan TFM, saya mahu memberi peluang inspirasi, platform kepada pelajar yang layak dan telah dipilih meneruskan bakat mereka dalam muzik,” katanya.

BERTARAF ANTARABANGSA

MENYASARKAN persembahan selama dua jam , Dennis akan membawa penonton merasai pengalaman dan perjalanan ke dunia tanpa batasan terhadap peluang, cinta, keamanan dan kesaksamaan.

Menjanjikan sebuah persembahan bertaraf antarabangsa, dia akan mendapat khidmat dua profesional yang sinonim dengan persembahan yang berkualiti tinggi iaitu Jennifer Thompson selaku penerbit.

Sementara itu, komposer Aubrey Suwito diberi tanggungjawab sebagai pengarah muzik.

Barisan rakan artis yang akan berkongsi pentas bersamanya terdiri daripada bintang yang sedang meningkat popular seperti Aisyah Aziz, Jeryl Lee, Dewi Seriestha, Lee Elaine, Jimmy Sax, Dennis Yin, kumpulan Nama dan Fara Dolhadi.

Selain itu, konsert yang akan berlangsung di Mega Star Arena, pusat beli-belah Viva Home, Kuala Lumpur pada pukul 8 malam itu turut menampilkan empat pelajar dari TFM akan membuat persembahan menerusi lagu ciptaan Dennis berjudul Esok.

Ini adalah persembahan mega kedua selepas kejayaan konsert sulungnya, Dennis Lau & Friends- The Phoenix Rising yang diadakan tiga tahun lalu. Konsert tersebut diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai Persembahan Instrumentalis Yang Berkolaborasi Dengan Penyanyi Paling Ramai.

Bagi mereka yang berminat, tiket-tiket dijual bermula dengan harga RM99 hingga RM999.

Layari www.ticketcharge.com.my untuk pembelian online.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini