'Berpeluh' kejar matahari terbit Bromo - Utusan Malaysia

‘Berpeluh’ kejar matahari terbit Bromo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAGI itu, berhampiran kaki Gunung Batok di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru, sosok tubuh bernama Herto, lingkungan lebih 40-an usianya, sabar menunggu pelanggan.

Bersama kuda yang dibelanya dan diberi nama ‘Bongkar’, Herto daripada suku Tengger yang tinggal di sekitar kawasan pergunungan berhampiran, sudah sekian lama ‘mengusahakan kuda pelancongan’ untuk membawa pelancong ke kaki Gunung Berapi Bromo.

Melihat kad namanya dipegang oleh penulis, Herto tanpa berlengah menyuruh penulis menaiki kudanya dan melintasi ‘padang hitam’ yang berdebu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Melintasi Pura Luhur Poten di pertengahan jalan, rumah ibadat itu merupakan kuil Hindu bagi suku Tengger sejak zaman Majapahit. Kuil tersebut kelihatan masih baik dan digunakan untuk upacara keagamaan.

“Bagaimana pendapatannya Pak Herto?” soal penulis membuka bicara kelesuan selepas mendaki Gunung Penanjakan melihat matahari terbit berlatarbelakangkan Bromo dan Semeru.

“Ya baik-baik aja (sahaja). Boleh buat belanja untuk keluarga,” jelasnya yang terpaksa bangun di awal pagi bersiap-siap untuk ‘meniagakan’ kudanya membawa pelancong ke kaki Gunung Bromo.

Awal perjalanan amat mengasyikkan sehingga berlaku kejadian yang mana kuda di depan penulis tiba-tiba ‘meragam’ menyebabkan seorang pelancong terjatuh ke tanah.

Kudanya baik cuma ‘terkejut’ ketika kakinya tergelincir kerana tanah lembab dan licin.

Setibanya di kaki Gunung Bromo, bunyi ‘ngauman’ dari kawahnya membangkitkan rasa gerun. Untuk melihat sendiri kawah Bromo, pengunjung perlu menaiki tangga yang agak curam dan licin.

“Oh! Itu rupanya kawah Bromo,” hati penulis berkata-kata sambil mata menyaksikan lereng-lereng kawah yang menakutkan.

Terdahulu seawal pukul 3 pagi, penulis sudah bersiap-siap menuju ke Penanjakan untuk menyaksikan matahari terbit dengan suhu sekitar 11 darjah Celsius.

Dengan menaiki pacuan empat roda, ramai rupanya sudah memenuhi ruang lapang di Penanjakan. Tiada apa yang dapat penulis ucapkan melainkan memuji kebesaran Allah SWT tatkala sinaran mentari memenuhi segenap ruang di Bromo dan Semeru.

Sinaran itu membangkitkan pemandangan yang cukup mengagumkan, sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata, tetapi itulah yang hendak penulis sampaikan.

Kalau tidak percaya, lekas-lekaslah tempah tiket penerbangan ke Surabaya dan bertamulah di Bromo menyaksikan sendiri keindahan alam ciptaan Yang Maha Kuasa.

Ketika perjalanan pulang ke Hotel Jiwa Jawa Resort yang terletak di Sukapura, Probolinggo, sebuah hotel yang cukup mendamaikan, penulis sempat bersiar-siar menikmati padang savana yang menghijau atau mudah disebut orang sebagai Bukit Teletubbies.

Rumput-rumputnya tumbuh subur, cukup untuk merehatkan mata yang sekian lama ‘dihidang’ hiruk-pikuk kesibukan kota dan timbunan tugas di tempat kerja.

Sempat juga melalui kawasan Pasir Berbisik yang memperoleh namanya susulan penggambaran filem berjudul Pasir Berbisik karya Nan Achnas pada 2001 yang dilakonkan oleh Dian Sastrowardoyo bersama Christine Hakim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini