PORT DICKSON 10 Mei – Dua buah kereta terbabas ke dalam parit selepas berlanggar dalam kejadian di Kilometer 22.3, JaLan Bukit Pelandok di sini hari ini.
Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kemalangan berlaku pada pukul 5.50 pagi melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Avanza dan Proton Gen 2.
“Kemalangan berlaku apabila kereta Proton Gen 2 dari arah Bukit Pelandok menghala ke Tanah Merah telah memotong sebelah kanan kenderaan Toyota Avanza di persimpangan masuk ke kebun sayur di situ.
“Bagaimanapun, kereta dipandu lelaki berusia 26 tahun itu berlanggar dengan Toyota Avanza dipandu lelaki berusia 44 tahun yang ingin masuk ke simpang tersebut.
“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua kenderaan telah terjunam ke dalam parit di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, dalam kejadian itu pemandu Toyota Avanza mengalami kecederaan dalaman, manakala seorang lagi pemandu tidak cedera.
Beliau memaklumkan, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











