KUALA LUMPUR 10 Mei – Kementerian Pendidikan wajar melantik seorang individu daripada kaum India yang mampu memikul tanggungjawab besar untuk memartabatkan bahasa Tamil di negara ini menerusi inisiatif kementerian mewujudkan Majlis Pembakuan Bahasa Tamil Malaysia atau MPBTM.
Dalam perkara ini, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan individu yang sesuai mengetuai MPBTM selaku pengerusi bersama majlis itu adalah bekas Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan.
Presiden Pusat Aduan Rakyat (PAR) Malaysia, Datuk A. Chandrakumanan berkata, usaha dan inisiatif untuk memartabatkan bahasa Tamil tidak akan membuahkan hasil yang diingini jika pelaksanaan MPBTM tidak dilakukan dengan berkesan.
“Inisiatif Kementerian Pendidikan untuk mengasaskan MPBTM baru-baru ini suatu usaha yang baik daripada pihak kerajaan untuk memperkukuh dan menyelaras penggunaan bahasa Tamil dalam bidang pendidikan dan juga bidang media.
“Maka apa yang wajar dilakukan oleh kementerian adalah melantik seorang individu daripada kaum India yang mampu memikul tanggungjawab besar ini dan melaksanakannya dengan sempurna.
“Pada pengamatan kami, Datuk Seri A Thaiveegan paling sesuai memikul tanggungjawab ini.
“Ramai yang tidak tahu bahawa sebelum beliau memegang jawatan polis, beliau merupakan seorang guru Tamil sambilan yang dihormati. Mereka yang mengenali beliau secara peribadi tahu beliau adalah seorang yang arif dan amat menyayangi bahasa ibundanya itu,” kata beliau dalam kenyataan kepada Utusan Online hari ini.
Kata Chandrakumanan, dengan melantik seorang individu yang berwibawa serta berkaliber seperti Thaiveegan, kerajaan dapat mencapai hasrat mereka untuk memartabatkan bahasa Tamil dengan cepat dan berkesan.
“Track record beliau selaku seorang pegawai polis yang dihormati sudah memadai untuk beliau diberi tanggungjawab ini untuk membantu membina identiti komuniti India yang terabai buat masa ini.
“Saya berharap pihak kementerian dapat mempertimbangkan cadangan ini dan memohon jasa besar A Thaiveegan untuk memikul tanggungjawab sekiranya beliau diamanahkan jawatan tersebut,” katanya.
Tambah beliau ini kerana selaku pengerusi bersama beliau mampu memberi input yang tidak berlandas kepada pegangan dan fahaman politik.
“Dengan pelantikan seorang yang berkaliber dan idak terlibat dalam politik, usaha memperkasakan bahasa Tamil dapat dijalankan dengan sempurna tanpa sebarang rintangan,”katanya. -UTUSAN ONLINE











