LONDON 9 Mei – Kebangkitan menakjubkan Tottenham dalam separuh akhir Liga Juara-Juara hari ini mengujakan penyokong Liverpool, yang tidak sabar untuk bertemu kelab London itu dalam final di Madrid, 2 Jun ini.
Rata-rata penyokong Reds menyuarakan keterujaan melihat dua kelab England berentap sesama sendiri di pentas final kejohanan kelab elit Eropah itu, apatah lagi kedua-dua mereka melangkah dengan penuh dramatik.
“Pencapaian hebat Tottenham. Mereka mengatasi lawan yang sukar dengan penuh bergaya. Kita jumpa di final,” tulis peminat Reds yang menggunakan Twitter Matt Gibbs.
“Liverpool dan Tottenham membuktikan liga England adalah yang terbaik di dunia. Sudah tentu kejayaan kedua-dua pasukan akan menarik lebih ramai pemain terbaik untuk beraksi di sini. #Messi, Stoke sedang mencari penyerang baharu,” tulis Danward dengan tanda pagar #Premierleague, #LFC, #Spurs dan #Championsleague.
Pengguna Twitter ScrumpyJohno pula menulis: “Daripada penyokong LFC. Tahniah Spurs atas kemenangan ke atas Ajax. Semua ini bagaikan mimpi, ayuh kita berentap di final.”
Bagi pemilik akaun Twitter Aliw, dia lebih berminat jika Liverpool bertemu Ajax kerana menganggap Tottenham lawan yang jauh lebih getir. – AGENSI











