Tinggal di kampung cepat obes - Utusan Malaysia

Tinggal di kampung cepat obes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS – Obesiti di seluruh dunia meningkat lebih cepat di kawasan pedalaman berbanding bandar-bandar besar, lapor satu kajian kelmarin sekali gus mencabar persepsi bahawa epidemik berat badan berlebihan tertumpu di kawasan bandar.

Data yang dikumpulkan oleh lebih 1,000 penyelidik meliputi 200 negara dan wilayah menunjukkan purata berat badan setiap wanita dan lelaki yang menetap di kawasan pedalaman meningkat antara 5 hingga 6 kilogram dari tahun 1985 hingga 2017.

Peningkatan berat badan wanita dan lelaki di bandar pula berkura­ngan masing-masing 38 peratus dan 24 peratus berbanding penduduk di kawasan kampung pada tempoh sama, demikian menurut kajian itu yang disiarkan dalam jurnal Nature.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil kajian di seluruh dunia ini menukar persepsi umum bahawa lebih ramai orang yang tinggal di bandar-bandar menjadi punca utama peningkatan obesiti global,” kata penulis utama kajian itu, Majid Ezzati dari Kolej Imperial London.

“Ini bermakna kita perlu memikirkan semula bagaimana kita mena­ngani masalah kesihatan glo­bal ini,” tambahnya.

Pengecualian terhadap trend itu berlaku di rantau-rantau di sekitar Gurun Sahara, Afrika di mana berat badan wanita meningkat dengan lebih cepat di bandar-bandar.

Obesiti muncul sebagai epidemik kesihatan global. Ia menyumbang kepada peningkatan sakit jantung, diabetes dan pelbagai jenis penyakit kanser.

Perbelanjaan tahunan bagi me­rawat impak kesihatan tersebut boleh mencecah AS$1 trilion dolar (RM4.15 trilion) menjelang tahun 2025, demikian menurut anggaran Persekutuan Obesiti Sedunia dalam tahun 2017.

Sehingga kini, kebanyakan dasar untuk menangani obesiti sama ada di peringkat nasional ataupun antarabangsa tertumpu pada bandar-bandar besar termasuk kempen meningkatkan kesedaran warga kota, pengubahsuaian ruang bagi menggalakkan senaman jalan kaki dan pembinaan pusat sukan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini