BENGKEL. Seramai 100 murid tahun lima dari daerah Sik, Baling dan Kuala Muda mewakili pelbagai kaum menyertai Bengkel Silang Budaya 2019 sempena Program My Rukun Negara Daerah Kuala Muda bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeniang Pusat, Sik, Kedah baru-baru ini.
Urusetia program, Omardi Ismail berkata, bengkel itu berupaya memberi pemahaman dan pendedahan kepada peserta berkaitan adat dan budaya rakyat.
“Melalui bengkel ini, para peserta diberi pendedahan secara teori dan praktikal. Kita mahu semangat cintakan budaya dipupuk dalam diri anak-anak sejak peringkat awal lagi,” katanya.
Program tersebut mendapat kerjasama daripada Kelab Rukun Negara SK Jeniang Pusat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut.
Bengkel itu dirasmikan oleh Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sungai Petani, Mazlan Safar.











