AMSTERDAM – Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino tidak mampu menahan sebak selepas melihat aksi semangat juang yang tinggi pasukannya berjaya menghadiahkan kemenangan ke atas Ajax Amsterdam untuk mara ke final Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Spurs ketinggalan dengan agregat 0-3 pada aksi separuh akhir kedua di Amsterdam semalam, namun jaringan hatrik Lucas Moura pada babak kedua berjaya membantu kelab London berkenaan bangkit menyamakan kedudukan 3-3, sekali gus mara ke final menerusi peraturan jaringan di tempat lawan.
Ajax sebelum itu dilihat masih berpeluang untuk melangkah ke final buat kali pertama sejak 1996 sebelum jaringan Moura pada masa kecederaan akhirnya meranapkan terus impian mereka untuk menjulang gelaran buat kali kelima selepas melakukannya pada 1971, 1972, 1973 dan 1995.
“Sangat sukar untuk menggambarkan perasaan saya sekarang ini. Ia terlalu beremosi dan penuh dengan kejutan. Terima kasih kepada semua pemain dan bagi saya mereka semua adalah wira sebenar yang tidak pernah mengaku kalah.
“Babak kedua perlawanan adalah satu aksi yang luar biasa. Kami jauh ketinggalan, tetapi pemain mengetepikan emosi dan tekanan untuk terus berusaha menyamakan kedudukan. Terima kasih juga diucapkan kepada para penyokong yang sentiasa memberi kepercayaan kepada kami,” kata Pochettino.
Pochettino juga memuji aksi cemerlang Moura yang berjaya menjamin pertemuan Spurs menentang Liverpool pada aksi final di Stadium Metropolitano di Madrid pada 2 Jun depan.
“Jika saya mengelar semua pemain sebagai wira, Moura pula saya gelar sebagai ‘adi wira’ kerana dia berjaya menjaringkan hatrik tanpa disangka-sangka. Malah secara kebetulan gol tersebut pula yang membantu kami layak ke final Liga Juara-Juara,” ujarnya lagi. – Agensi











