KUALA LUMPUR 9 Mei – Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini di tengah-tengah dagangan yang berhati-hati berikutan peningkatan ketengangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, kata seorang peniaga.
Beliau berkata pasaran juga menjejaki kelemahan niaga hadapan pasaran getah serantau serta penurunan harga minyak.
“Bagaimanapun, kerugian telah dihadkan oleh ringgit yang lebih lemah berbanding dolar US,” kata peniaga itu.
Katanya, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah menyalahkan China berikutan kegagalan dalam rundingan perdagangan antara Beijing dan Washington.
Sementara itu, pada 12 tengah hari, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 susut 9.5 sen kepada 609.00 sen sekilogram, manakala lateks pukal menokok satu sen kepada 476.5 sen sekilogram.
Harga penutup tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 turun 4.5 sen kepada 609.00 sen sekilogram, manakala lateks pukal bertambah dua sen kepada 475.5 sen sekilogram. – BERNAMA











