KUALA LUMPUR – Selepas hampir empat tahun menanti, hak penjagaan dua kanak-kanak, Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 11, dan Nur Firuza Aqila Fairuz Nizam, 8, yang kematian ibu bapa dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) pada Mei 2015 lalu akhirnya menjadi milik ibu saudaranya yang dipanggil ‘mama’.
Hakim Syarie Zaim Md. Yudin memutuskan demikian selepas mendengar semua keterangan saksi dari pihak Yusnidah Hussain, 51, selaku plaintif dan nenek dua kanak-kanak itu Wirda Syamsuddin, 56 selaku defendan sepanjang perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini sebentar tadi.
Meskipun hak penjagaan itu adalah milik plaintif mahkamah turut memutuskan nenek dua kanak-kanak mempunyai hak-hak lawatan.
“Hak-hak itu adalah cuti sekolah dibahagikan kepada dua dan sambutan hari raya mengikut giliran setiap tahun antara plaintif dan defendan,” katanya.
Terdahulu dalam penghakimannya, Zaim berkata mahkamah membuat keputusan itu, selepas berpendapat plaintif telah memberi kasih sayang yang baik kepada dua kanak-kanak itu.
“Selain itu berdasarkan keterangan daripada Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyatakan psikologi dua beradik ini mereka lebih gembira untuk tinggal bersama ibu saudaranya yang dipanggil ‘mama’ selain faktor rumah plaintif berdekatan dengan kubur ibu bapa dua kanak-kanak ini, ” kata Zaim.
Tambahnya, dalam keterangan yang turut diambil daripada dua kanak-kanak itu, Nur Firuza Amira menyatakan suka dan selesa tinggal bersama plaintif manakala adiknya Nur Firuza Aqila menyatakan sudah tinggal dengan plaintif sejak dari kecil.
Dalam prosiding itu, Yusnidah diwakili peguam syarie Mahyuddin Md. Zahari manakala Wirda diwakili peguam syarie Yusfa Hanis Yusoff.
Sementara itu Yusnidah ketika ditemui selepas tamat prosiding dia bersyukur keputusan itu memihak kepadanya selepas empat tahun kes ini berjalan.
“Alhamdulilah keputusan memihak kepada saya untuk menjaga mereka yang saya anggap seperti anak kandung sendiri,” katanya sambil mengesat air mata.
Pada 11 Ogos 2015 , Yusnidah diberikan hak penjagaan sementara oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini ke atas dua kanak-kanak berkenaan.
Yusnidah memfailkan permohonan hadanah pada 2 Jun 2015 mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan menamakan Wirda sebagai defendan.
Dalam kejadian pada 2 Mei 2015, Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka Nur Firuza Annisa, enam bulan, maut dalam nahas jalan raya semasa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Muda, Batu Caves dekat sini. – K! ONLINE











