RAUB – Seorang pelajar maut apabila motosikalnya melanggar sebuah treler di Kilometer 355 Jalan Kuala Lumpur – Kota Bharu di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, Lee Mei Kei, 17, dari Kampung Sungai Chetang dikatakan dalam perjalanan dari rumah menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud, di sini meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pelajar tingkatan lima itu menunggang motosikal jenis Honda Wave dan telah melanggar treler terbabit ketika keluar dari simpang berhampiran Restoran Rasa Rindu.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang menunggang seorang diri telah terperosok di bahagian tayar tengah treler yang dipandu oleh seorang lelaki India.
“Mangsa mengalami memakai topi keledar namun mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat manakala pemandu treler berkenaan tidak mengalami kecederaan.
“Kita telah menjalankan ujian air kencing terhadap pemandu treler namun keputusannya negatif,” ujarnya.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan. – K! ONLINE











