PUTRAJAYA – Kerajaan akan memperkenalkan hala tuju baharu ekonomi negara bertujuan memastikan rakyat dapat menikmati kemakmuran bersama serta menyelesaikan kemelut ekonomi yang dialami sekarang.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, inisiatif yang akan diperkenalkan itu mengambil pendekatan ‘Kemakmuran Bersama’ dengan meningkatkan kuasa beli rakyat, menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum, wilayah serta jurang rantaian bekalan melampau.
“Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan.
“Ini seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian serta kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang tahun 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Mahathir berkata, untuk mencapai matlamat itu, kerajaan menggariskan tujuh teras strategik.
Beliau menjelaskan, ia termasuk penstrukturan dan penambahbaikan ekosistem perniagaan, menjana sektor pertumbuhan baharu, reformasi bakat dan sumber tenaga negara dan memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja.
“Teras itu turut meliputi aspek memperkukuhkan kesejahteraan sosial, pembangunan wilayah yang inklusif dan peningkatan modal sosial masyarakat,” katanya. – K! ONLINE











