KUANTAN 9 Mei – Kerajaan negeri membeli lima jentera berat bagi memastikan semua pentadbiran tanah di negeri ini lebih tegas dalam isu pencemaran dan pencerobohan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, lima jentera berat itu ialah eskavator (dua buah), jengkaut (dua buah) dan sebuah selfloader yang keseluruhannya membabitkan kos bernilai RM1.85 juta.
“Pejabat Tanah dan Galian (PTG) tidak pernah mempunyai jentera berat untuk menjalankan penguatkuasaan yang mana sebelum ini disewa dari agensi lain.
“Memandangkan kerajaan negeri serius dalam isu ini (pencemaran dan pencerobohan), maka kita membeli jentera berat ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Sallehuddin berkata, dengan adanya jentera berat berkenaan, ia memudahkan pihak PTG untuk melaksanakan penguatkuasaan terhadap tanah yang diceroboh.
“Pihak Kumpulan UMW juga telah menawarkan memberikan latihan secara percuma kepada kakitangan kita (PTG) untuk mengendalikan jentera yang serba canggih ini.
“Jentera ini bukan sahaja sepenuhnya automatik, malah turun dilengkapi sistem pendingin hawa sekali gus membolehkan pegawai kita membuat kerja yang memerlukan tempoh panjang,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











